Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah sepatutnya tidak memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi kekal bersama gabungan NGO itu jika benar-benar mahu membawa suara masyarakat yang menginginkan pilihan raya yang telus dan adil.

“Kita sememangnya menghormati hak beliau sebagai rakyat dalam negara demokrasi untuk bertanding dalam PRU-14.

“Namun dari segi prinsipnya jelas bercanggah dengan apa yang pernah dikatakannya bahawa BERSIH merupakan NGO bebas yang tidak memihak mana-mana pihak,” kata pensyarah kanan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang dipetik Utusan Malaysia.

Portal milik Umno itu juga memetik pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai berkata, keputusan Maria jelas membuktikan bahawa BERSIH sebenarnya ‘wayang kulit’ yang berpihak kepada pembangkang.

“BERSIH sememangnya memihak kepada pembangkang, cuma sejauh mana Maria mampu membantu Pakatan Harapan masih samar kerana beliau jelas tidak mempunyai kredibiliti atau rekod bertanding dalam pilihan raya.

“Keputusan Maria itu juga seolah-olah mengiktiraf bahawa sistem pilihan raya di negara ini jelas tidak kotor dan adil berbanding seperti yang didakwanya sebelum ini,” katanya yang dipetik oleh portal itu.

Malaysiakini hari ini mengesahkan Maria menawarkan diri untuk menjadi calon bebas HARAPAN dalam PRU-14 dan akan membuat pengumuman mengenai hasratnya itu dalam sidang akhbar yang dijangkakan esok.