ULASAN | Apa yang Melayu mahu? Jika kamu tanya pemimpin kumpulan sayap kanan PERKASA Datuk Ibrahim Ali, ada lima kesemuanya.

Ini dinyatakan dalam video yang dimuat naik pada Disember 2013, kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum terakhir.

  1. Tiada mana-mana pihak mempersoalkan asas-asas penting Perlembagaan Persekutuan, dilihat berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu.
  2. Kesucian Islam tidak disentuh.
  3. Orang Melayu tidak dihina atau diremehkan.
  4. Kedudukan raja-raja Melayu tidak direndahkan.
  5. Perkongsian kekayaan yang adil.

Isu ini timbul selepas soalan popular kolumnis Utusan Malaysia Apa lagi Cina mahu?” sejurus selepas masyarakat Cina secara besar-besaran mengundi menolak BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Rencana rasis ini mempersoalkan hak orang Cina memilih menentang BN seperti mereka tidak dibenarkan berbuat demikian dan seolah-olah mereka tidak bersyukur dengan berbuat demikian.

Kedua-dua retorik di atas menunjukkan perbincangan berkaitan apa yang Melayu mahu dan perlu daripada kerajaan dan ahli politik yang mengetengahkan hak-hak Melayu untuk kelangsungan mereka, nampaknya hanya retorik yang direka untuk membangkitkan kemarahan dan membuatkan mereka menyokong pemerintah, dengan mengaburkan isu sebenar.

Jadi apa sebenarnya yang Melayu mahu? Biar kita buat tekaan ilmiah? Tetapi biar kita mulakan dengan menolak lima senarai Ibrahim itu.

Tidak ramai mempersoalkan hak Melayu tetapi bantuan itu patut dipanjangkan juga kepada mereka yang miskin.

Bantu si miskin, bukan si kaya daripada semua masyarakat, dan orang Melayu akan terbela sekali.

Dan tiada sesiapa yang mahu secara terbuka mempersoalkan kemuliaan Islam tetapi mereka tidak mahu agama dan adat dihina oleh pelampau Islam.

Sama seperti isu kaum Melayu dan raja-raja Melayu. Ia digunakan sebagai pengalih perhatian daripada isu seperti dihadapi orang-orang Melayu dan aspirasi kaum itu.

Senarai kelima Ibrahim, bagaimanapun, ada benarnya.

Yang masih kabur – apakah maksud perkongsian adil dan bagaimana menjayakannya?

Dengan mengemukakan soalan ini, lebih mudah untuk mengenal pasti apa yang Melayu mahu dan bagaimana BN memberikannya kepada mereka.

Kita tahu rakyat mahu duit, semua orang, termasuk orang Melayu.

Melayu mahu lebih pendapatan

Untuk melihat bagaimanakah ia dicapai, atau sebaliknya, antaranya melalui agihan pendapatan.

Menurut Laporan Kedudukan Isi Rumah, Institut Kajian Khazanah (KRI), yang termasuk gaji, bayaran kerja lebih mas dan bonus pada 2013:

• 96 peratus ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat gaji kurang RM6,000 sebulan.
• 85 peratusmendapat kurang dari RM4,000
• 62 peratus mendapat kurang daripada RM2,000.

Bagaimana golongan 62 peratus ini dapat hidup selesa apabila mereka ada anak-anak untuk ditanggung?

Sementara itu, pendapatan dan gaji purata individu pada 2013 hanya RM1,700. Ini bermakna separuh pekerja mendapat sebanyak itu sahaja, atau lebih kurang, menurut KRI.

Pembahagian berdasarkan etnik dan strata pula seperti berikut:



Nota: Angka bagi Melayu lebih tinggi berbanding bumiputera kerana turut merangkumi Orang Asli dan kumpulan-kumpulan Sabah/Sarawak yang lebih miskin berbanding orang Melayu.

Sejak 1970, terdapat pengurangan ketara jurang pendapatan isi surah antara Melayu dan Cina lebih dua kali ganda (dalam pendapatan purata isi rumah) kepada 6.3 peratus berdasarkan angka-angka di atas.

Menggunakan ukuran ini, kesetaraan pendapatan bukan lagi masalah sebaliknya kurangnya pendapatan. Bukan saja Melayu mahu lebih pendapatan, tetapi semua orang.

Dan bagaimana mempertingkatkan pendapatan? Salah satu cara utama melalui pendidikan.

Melayu mahu pendidikan bermutu

Mutu pengajaran di sekolah merudum selepas langkah tergesa-gesa menambah bilangan guru Melayu dan memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Banyak lagi anekdot dan bukti lain berkaitan perkara ini.

Di samping itu, penurunan standard pendidikan menghasilkan terlalu banyak graduan, tetapi banyak juga yang kemudian menganggur.

Bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan di negara ini dan penurunan ketara standard bahasa itu membuatkan banyak graduan Melayu menganggur.

Tinjauan menunjukkan ibu bapa Melayu juga mahukan subjek seperti Matematik, Sains dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diajar dalam bahasa Inggeris tetapi ahli politik Umno terus menentangnya.

Ini berlaku walaupun mereka menghantar anak masing-masing ke sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar untuk kesemua mata pelajaran.

Bahasa Inggeris anak-anak mereka bagus tetapi tidak anak-anak pengundi mereka.

Macam mana sebenarnya ahli politik yang orang Melayu mahu? Jujur ya. Cekap. Memikirkan perkara itu sudah tentu mereka yang memainkan isu kaum dan agama sebenarnya menyembunyikan kekurangan sendiri.

Kenapa ramai ahli politik yang mewakili rakyat hidup mewah ketika lebih separuh pengundi mendapat gaji tidak sampai RM1,700 sebulan.

Melayu mahu pemimpin jujur dan cekap

Ini komoditi mahal. Tanpa nilai ini, akan berlaku kebocoran serius dalam ekonomi, kesukaran merapatkan jurang ekonomi dan kekayaan.

Ini kerana rasuah akan memberi pendapatan kepada golongan berada dan orang awam akan terus membayar lebih untuk perkhidmatan yang menebalkan poket ahli perniagaan.

Pernahkan penswastaan menghasilkan kos perkhidmatan yang rendah? Tidak.

Adakah projek bangunan mahal dan kemudahan prasarana meragukan memberi manfaat kepada orang Melayu?

Ya, melalui kegiatan rent-seeking (manipulasi dasar awam dan ekonomi untuk mengaut keuntungan), tetapi bagi kebanyakan orang Melayu, jawapannya tidak.

Ini tiga senarai yang lebih terarah dan perlu disentuh untuk membicarakan aspirasi masyarakat Melayu, bukannya lima senarai 'membara' Ibrahim.

Di akhirnya, seluruh rakyat Malaysia mahukan kerajaan yang baik dan dengan sumber-sumber sedia ada sudah lebih daripada cukup untuk menyelesaikan masalah kita semua.

Kenapa tidak.


Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.