Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambiga pertahan keputusan Maria Chin sertai politik
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 8:51 AM
Dikemaskini: 12:55 AM

Aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan mempertahankan keputusan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah untuk terjun ke dunia politik.

Ambiga berkata langkah anggota masyarakat sivil yang membawa perjuangan mereka ke Parlimen atau malah menubuhkan parti politik sendiri bukanlah sesuatu yang aneh.

"Bagi saya ia adalah peluang untuk menyuarakan suara anda secara terus di Parlimen, di mana anda dapat mempengaruhi undang-undang yang digubal. Ia adalah platform berbeza untuk memperjuangkan hal yang sama.

"Maria tidak akan terlibat dalam politik kepartian, tetapi hanya agenda pembaharuan. Ia memang keputusan sukar dan kami menghargai keputusannya untuk bertanding," kata peguam itu dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas kritikan terhadap keputusan Maria untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebagai calon bebas bawah Pakatan Harapan (HARAPAN).

Terdahulu, portal FMT melaporkan bekas Anggota Parlimen Mohamed Tawfik Ismail sebagai berkata langkah itu membuktikan dakwaan BN selama ini bahawa Bersih dipengaruhi pembangkang.

Ambiga berkata orang ramai akan faham dan menyokong langkah Maria itu selepas beliau memberikan penjelasannya.

Maria dijangka membuat sidang media bagi mengumumkan perkara itu tengah hari ini.

Sementara itu, Ambiga yang dahulunya pernah memimpin Bersih berkata gerakan itu bukan tentang mana-mana tokoh atau individu.

"Ia dari rakyat dan untuk rakyat. Kekuatan Bersih adalah ia akan terus berkembang tanpa mengira siapa yang memimpinnya.

"Ia hasil sistem yang kuat, telus dan cekap dalam Bersih - sesuatu yang boleh dibanggakan Maria dan jawatankuasa pemandu.

"Tokoh datang dan pergi, tetapi saya yakin Bersih akan bertahan dan meneruskan perjuangannya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS