Paling Popular
Terkini

ULASAN | Berita Indonesia merampas kapal mewah hartawan kontroversi Jho Low yang didakwa diperolehi menggunakan wang yang disalah guna daripada 1MDB di Bali baru-baru ini memenuhi portal berita tetapi tidak media arus perdana.

Kata bekas pengarang kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil Mohd Janor, "Kita masyhur di serata dunia kerana Jho Low, hinggakan akhbar Chiang Rai Times di kawasan bukit-bukau sempadan Thailand dengan Laos pun siarkan berita kapalnya."

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM17.56 bilion) wang 1MDB disalahgunakan dan sedang berusaha mendapatkan kembali aset AS$1.7 bilion (RM6.63 bilion) yang dikaitkan dengan skandal itu.

Kapal Equanimity yang bernilai AS$250 juta (kira-kiraRM1 bilion) itu sebahagian daripada aset yang dijejaki DoJ.

Mengapa media arus perdana malu-malu kucing melaporkannya? Adakah kerana ia tiada nilai berita atau kerana setiap berita mengenai skandal 1MDB umpama selumbar kepada parti pemerintah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Jawapannya ialah kedua-duanya. Ia dianggap tiada nilai berita terutama bagi media arus perdana yang kebanyakan penontonnya di kalangan masyarakat luar bandar. Skandal 1MDB adalah rompakan dana rakyat terbesar dan membawa imej buruk kepada Najib.

Maka lebih baik jika tiada berita berkenaannya.

Walaupun pembangkang melaksanakan penerangan berkaitan 1MDB, ia masih kurang difahami masyarakat luar bandar berbanding isu peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan GST.

Reaksi bekas menteri seperti Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz terhadap 1MDB dan Equanimity juga barangkali tidak sampai ke kampung-kampung.

Persoalannya, apa kaitannya isu 1MDB dan kapal mewah ini dengan masalah rakyat?

Tabung rakyat jadi penyelamat

Ia berkaitan kerana wang 1MDB iaitu sebuah syarikat milik kerajaan hilang dan dijoli begitu saja sedangkan rakyat dibeban dengan cukai GST, harga barang yang naik dan penghapusan subsidi.

Kerajaan sebelum ini telah menegaskan dana 1MDB tidak hilang atau dicuri, ini disandarkan kepada laporan Jawatankuasa Audit Negara.

Najib juga pernah berkata dana 1MDB tidak hilang tetapi ialah hutang yang boleh dilunaskan oleh aset yang lebih daripada hutang.

Masalahnya hutang itu diambil dari mana dan benarkah aset cukup untuk bayar hutang? Berapa lama pula tempoh hutang akan selesai? Dengarnya hanya pada tahun 2039 menurut pelan rasionalisasi.

1MDB didakwa berhutang dengan beberapa dana rakyat seperti daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera (melalui kontrak kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

Hutang 1MDB yang besar dan kadar faedah yang tinggi telah menggugat dana rakyat dan apabila dicari ganti daripada tabung-tabung rakyat maka sudah tentu ada kesannya.

Kegagalan 1MDB membayar hutang ini boleh menjejaskan pelaburan wang rakyat dalam dana-dana berkenaan.

Kerajaan kata wang itu tidak hilang tetapi kes berkait 1MDB di merata dunia membuktikan sebaliknya. Lebih malang aset dan wang rampasan berlaku di luar negara namun tidak diendahkan malah diabaikan parti pemerintah.

Bukankah wang bernilai RM1,000 juta boleh digunakan untuk membina sekolah, jalan raya, jambatan, hospital dan pelbagai keperluan asas rakyat?

Malah mungkin menurunkan harga minyak.

Justeru isu 1MDB dan kapal mewah ini penting dan berkait dengan masalah rakyat.

Equanimity ketimbang BR1M, subsidi

Ia memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat akibat pengurusan dan tadbir urus yang pincang lagi menyeleweng. Ia berkait dengan maruah, sistem keadilan dan kedaulatan negara.

Hakikatnya, kutipan GST terpaksa dilakukan kerana duit telah hilang. Wang negara dibazirkan, dicuri, ditiriskan dan dibawa lari oleh orang seperti Jho Low.

Pada masa sama rakyat menderita. Seorang joli kapal mewah RM1,000 juta namun rakyat dapat BR1M RM1,200 setahun, itu pun bukan semua yang dapat.

Dengan penghapusan pelbagai jenis subsidi barangan ruji rakyat sejak 2010 kenaikan harga barang tidak lagi boleh dikawal kerajaan.

Apabila subsidi barangan ruji seperti tepung, minyak masak, beras dan gula dipotong, bukan sahaja harga barangan itu naik tetapi harga barangan lain juga naik.

Ditambah pula dengan dengan kadar mata wang ringgit yang lemah akibat krisis keyakinan masyarakat antarabangsa dan pelabur asing serta skandal 1MDB, maka harga barangan import juga meningkat naik.

Memandangkan kita mengimport 80 peratus barang makanan seperti cili, bawang, beras, gandum, kambing, lembu dan sayur maka kesan kenaikan harga barang amat terasa.

Tambah derita rakyat setelah subsidi dihapuskan dan mata wang yang rendah, parti pemerintah kutip cukai GST 6 peratus di atas setiap satu ringgit harga barang.

Benar, mungkin kalau masuk kampung rakyat mungkin tidak kenal Jho Low, Equanimity atau 1MDB.

Tetapi rakyat tetap akan marah dengan Najib dan Umno BN kerana harga barang yang naik, kos sara hidup yang tinggi dan cukai GST yang membebankan akibat tempias skandal 1MDB.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ketua penerangan PKR.

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis da tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS