Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bagaimana beli kapal guna duit 1MDB kalau tiada wang hilang?'

Bagaimana kapal layar mewah Equanimity dikatakan dibeli dengan dana 1MDB jika syarikat itu sendiri berkata mereka tidak hilang wang, soal Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

“Kalau 1MDB kata duit dia tak hilang, macam mana orang boleh tuduh beli bot pakai duit 1MDB,” kata Razali kepada Malaysiakini dalam wawancara di Muar, Sabtu lalu.

Equanimity dirampas di Bali oleh polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) minggu lepas.

Perincian berkaitan dakwaan pembelian kapal itu oleh hartawan kontroversi Jho Low yang dikatakan menggunakan dana AS$250 daripada 1MDB pertama kali didedahkan oleh saman pelucuthakan Jabatan Keadilan (DOJ), AS Jun tahun lalu.

1MDB bagaimanapun berkata tiada bukti yang boleh mendukung dakwaan itu.

Razali berkata dakwaan berkaitan Equanimity oleh pembangkang bertujuan membangkitkan keresahan dan kekeliruan.

“Yang penting orang marah, (mereka) dapat undi.

“Mereka bina kerajaan atas kemarahan rakyat.

“Ini berlaku di Libya, Mesir,” katanya, merujuk kepada ketidakstabilan kedua-dua negara selepas revolusi Arab Spring pada 2010.

Sementara itu, Razali berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat 1MDB dan memerlukan bantuan luar.

Beliau tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

Setakat ini tiada laporan menyebut Malaysia meminta atau membenarkan bantuan undang-undang bersama dengan negara seperti Switzerland, yang menjalankan siasatan sendiri terhadap isu berkaitan 1MDB.

Razali memegang portfolio memantau SPRM di Jabatan Perdana Menteri.

Lihat Komen
ADS