Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jurutera, isteri direman 6 hari bantu kes rasuah projek SAMUR

Seorang jurutera syarikat minyak dan isterinya direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM361,000 dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang, Sabah, tiga tahun lepas.

Perintah reman sehingga 11 Mac itu dikeluarkan Majistret Khir Nizam Jemari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut laporan media yang memetik sumber SPRM, suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 58 dan 49 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam pada 2 petang semalam.

Suspek yang ketika itu merupakan pengurus kawalan kualiti dan analisis kualiti (QA&QC) dalam projek berkenaan, disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada subkontraktor sebagai upah untuk suspek melantik syarikat subkontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengujian paip.

Menurut sumber SPRM lagi, pembayaran tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya.

Setakat ini SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes itu dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

-Bernama

Lihat Komen
ADS