Maria Chin Abdullah yang mengumumkan penyertaan dalam politik berikrar akan menjadi anggota parlimen bebas sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU).

Pengerusi BERSIH itu mengundurkan diri daripada gabungan itu bagi menawarkan diri sebagai calon bebas dengan menggunakan tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun Maria berkata, beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik.

Keputusan itu dibuat untuk mengelakkan beliau terlibat dalam politik kepartian dan membolehkannya memberi tumpuan bagi membawa "agenda pembaharuan" di Dewan Rakyat.

"Saya perlu menjadi seorang yang bebas. Jika saya membawa agenda pembaharuan, saya perlu fokus.

"Bebas bukan sekadar logo tetapi membawa agenda yang paling penting kepada saya. Saya mesti memiliki ruang untuk menyampaikan pendirian saya sendiri jika terdapat isu-isu kontroversi.

"Berada di parlimen merupakan perjuangan yang sukar, bukan hanya di dalam parti tetapi anda perlu menghadapi BN. Saya tidak mahu terlalu terlibat dalam politik parti.

"Sebagai seorang yang bebas, saya harap saya tidak perlu berbuat demikian. Saya tidak akan menyertai parti," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Beliau menjelaskan keputusannya untuk bertanding di bawah bendera HARAPAN, atau bendera mana-mana parti komponennya, adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan gabungan parti pembangkang.

"Tujuan saya adalah untuk bawa agenda saya (di Parlimen). Saya tidak akan bertanding tiga penjuru (menentang) HARAPAN," katanya.

[Baca berita penuh]