'Tindakan SKMM bukti tuduhan terhadap Kuok tak berasas'
Anggota parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan sama ada pemimpin Umno akan meminta maaf daripada Tan Sri Robert Kuok kerana mendakwa hartawan itu menaja DAP.
Pemimpin DAP itu berkata demikian susulan tindakan Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan tiga artikel yang disiarkan laman web Malaysia Today berhubung dakwaan berkenaan ditarik balik.
Teo berkata tindakan SKMM mengarahkan artikel itu disingkirkan membuktikan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas.
Sehubungan itu beliau mempersoalkan sama ada pemimpin Umno seperti Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz akan memohon maaf daripada jutawan berkenaan.
"Nazri dan Tajuddin mesti bertanggungjawab terhadap sikap mereka seperti gangster," kata Teo dalam satu kenyataan hari ini.
Selain Nazri dan Tajuddin, Kuok baru-baru dikrtirik hebat oleh beberapa anggota majlis tertinggi Umno seperti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Azalina Othman kerana didakwa membiayai DAP dan portal The Malaysian Insight.
Pemimpin Umno mendakwa Kuok tidak berterima kasih kepada BN setelah mendapat banyak manfaat daripada dasar kerajaan.
Bagaimanapun laman web Malaysia Today diarah megeluarkan tiga artikel berkaitan dakwaan itu semalam oleh SKMM.
Pejabat Kuok juga menafikan dakwaan dibuat Malaysia Today.
Episod itu mencetuskan perang mulut antara pimpinan MCA dan Nazri. Bagaimanapun Nazri tetap enggan memohon maaf kepada Kuok.

