Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Laman web S'pura didakwa putar belit kenyataan TMJ
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 2:24 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Peguam keluarga diraja Johor dan pasukan polis di negeri itu akan mengambil tindakan terhadap sebuah laman web dari Singapura kerana mengeluarkan artikel palsu mengenai Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, laman web berkenaan, The Independent.sg memutarbelitkan kenyataan Tunku Ismail berkenaan isu politik antara Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan jutawan, Tan Sri Robert Kuok.

"DYAM Tunku Mahkota Johor tidak pernah langsung memberikan kenyataan mengenai isu tersebut.

"Saya meminta pihak luar berhenti daripada mengaitkan DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor dengan isu-isu politik," jelasnya yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan laman web berkenaan.

Menurutnya, kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail hanya dikeluarkan oleh laman rasmi The Royal Johor (Royal Press Office), laman rasmi Johor Southern Tigers dan akhbar The Star.

"Jikalau ada kenyataan daripada sumber luar selain dari yang saya nyatakan di atas, ia adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, pihak guaman keluarga diraja Johor dan ketua polis Johor akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu itu.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam kenyataannya mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis berkenaan artikel palsu dan berbaur fitnah terhadap Tunku Ismail.

Katanya siasatan awal mendapati artikel itu telah ditarik balik oleh pentadbir laman web terbabit.

Menurutnya, kes itu dibuka untuk siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM Kontinjen Johor menegaskan di sini agar mana-mana pentadbir laman sesawang supaya menyemak kesahihan berita yang ingin dikeluarkan; serta menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan apa-apa berita di media sosial atau laman sesawang tanpa merujuk kesahihan berita tersebut.

"PDRM Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pentadir laman sesawang yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan yang palsu, menyakitkan hati, menjelikkan, atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," tegasnya.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang terhadap individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan pendakwaan akan dikenakan terhadap mereka.

Lihat Komen
ADS