Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa orang ramai memberitahunya bantuan RM700 yang diperuntukkan kepada banjir besar di Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lalu diberikan kepada mereka yang tidak layak.

"Saya beritahu mereka bantuan untuk mereka yang menjadi mangsa banjir.

"Penduduk Balik Pulau ini bertanya saya bagaimana mereka yang tidak terkesan turut menerima bantuan itu," kata ADUN Datuk Muhamad Farid Saad (gambar) kepada Malaysiakini.

"Mereka kata ada rumah yang diberi bantuan untuk lebih daripada seorang. Saya terkejut dan beritahu mereka ini bawah kerajaan negeri dan saya tak terlibat," katanya lagi.

Justeru Farid meminta kerajaan Pulau Pinang menjelaskan berapa jumlah sumbangan yang diterima daripada orang awam dan berapa yang diperuntukkan untuk program bantuan itu.

"Berapa ramai penerima bantuan? Apakah kriteria kelayakan untuk menerimanya? Bolehkah ia diberikan kepada lebih seorang untuk setiap isi rumah?" soalnya.

Beliau merujuk bantuan banjir yang diagihkan kepada mangsa pada Disember tahun lalu menerusi program Penang Bangkit.

Mangsa yang layak diperuntukkan sejumlah RM700 hasil daripada sumbangan orang awam dan peruntukan kerajaan negeri.

Pada 4 Januari lalu, ketua menteri Lim Guan Eng berkata ia telah diagihkan kepada hampir 49,533 mangsa insiden banjir yang meragut tujuh nyawa dan menjejaskan ribuan penduduk di 80 peratus kawasan negeri itu.

Namun beliau berkata sejumlah kecil yang berdaftar untuk menerima bantuan itu, iaitu 2,754 mangsa, belum membuat tuntutan.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus yang jabatannya bertanggungjawab memantau agihan bantuan dan menunggu maklum balasnya.

Pada November 2017, Lim mengumumkan Pulau Pinang menerima sumbangan kira-kira RM10 juta untuk mangsa banjir besar itu.

[Baca berita asal]