Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hari bersejarah dalam hidup saya, kata Mahfuz

PARLIMEN | Mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan penambahan kerusi di kawasan blok anggota Parlimen Bebas dengan kehadiran Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Kini, bilangan kerusi bagi anggota Parlimen Bebas di Dewan Rakyat bertambah kepada tiga berbanding dua sebelum ini, manakala bilangan kerusi anggota Parlimen PAS berkurang kepada 13 berbanding 14 sebelum ini.

Mahfuz diletakkan sebaris dengan Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan Anggota Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kedua-duanya juga merupakan anggota Parlimen Bebas.

Mahfuz pada 31 Disember lepas mengumumkan keluar daripada PAS selepas 34 tahun bersama parti itu kerana dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Ditanya mengenai perasaannya kali pertama hadir bersidang sebagai anggota Parlimen Bebas, Mahfuz menyifatkan hari ini sebagai satu sejarah dalam hidupnya.

“Kali ini saya hadir sebagai anggota Parlimen Bebas, tetapi tidak tahu lah apa akan berlaku selepas ini,” katanya ketika ditemui Bernama dan menurutnya beliau akan membuat pengumuman sama ada menyertai mana-mana parti atau kekal sebagai wakil rakyat Bebas pada persidangan ini.

Mahfuz berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan rakan seperjuangan lamanya dalam PAS.

Beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal menerusi pilihan raya umum (PRU) 1999, 2008 dan 2013. Mahfuz tewas kepada calon Barisan Nasional pada PRU 2004.

Mahfuz pernah dipilih sebagai naib presiden PAS selain dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Kedah pada 2013 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mengalami masalah kesihatan ketika itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS