Perlis mencatat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lebih cemerlang mengatasi peringkat nasional.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN) Perlis, Izmi Ismail berkata gred purata sekolah (GPS) Perlis ialah 2.82 berbanding peringkat nasional 2.76.
Katanya daripada 459 calon yang menduduki peperiksaan itu, lima orang memperoleh Purata Nilai Gred Kumilatif (PGNK) 4.00 dan menjadikan mereka pelajar terbaik negeri ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar mencatatkan GPS tertinggi iaitu 3.10, menjadikannya sekolah pertama daripada 11 buah sekolah di negeri ini yang memperoleh keputusan lulus penuh 100 peratus (empat Prinsipal), kata Izmi pada sidang media di sini, hari ini.
Antara pelajar terbaik ialah Muhammad Amin Ahmad Kamal dari SMK Tengku Sulaiman yang telah berazam untuk mengatasi kekecewaan keputusan Sijil Pelajaran malaysia (SPM) yang didudukinya dua tahun lalu kurang memuaskan.
“Saya mahu menebus kehampaan itu dan meningkatkan usaha termasuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan yang menjadi antara faktor memperoleh keputusan 4.00 dalam ujian percubaan dan peperiksaan sebenar,” katanya yang bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.
Seorang lagi pelajar terbaik Perlis dari SMK Tengku Sulaiman, Nurfarahana Izzati Md Ros berkata beliau menggunakan kaedah mengajar kembali rakan-rakan yang kurang faham dan ini membantu beliau meningkatkan kefahamannya mengenai sesuatu subjek.
Nurfarahana Izzati yang bercita-cita menjadi guru berkata beliau akan menggunakan waktu lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran kerana minda menjadi lebih segar pada masa tersebut selain sentiasa bertanya guru. -Bernama
