Paling Popular
Terkini

Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia mempertimbangkan permintaan bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah untuk bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bagaimanapun, pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bagi mengelak pertembungan banyak penjuru pada pilihan raya akan datang.

“Kita akan bertemu dia (Maria) tetapi kita belum memutuskan apa-apa lagi.

“Ini kerana kita kena lihat impaknya kerana kita tidak mahu melihat pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru. Ini hanya akan beri kemenangan pada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen.

Maria hari ini mengumumkan penyertaan dalam politik dan berikrar akan menjadi anggota parlimen bebas sekiranya dipilih pada PRU14.

Maria mengundurkan diri daripada gabungan itu bagi menawarkan diri sebagai calon bebas dengan menggunakan tiket HARAPAN.

Bagaimanapun Maria berkata, beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik bagi membawa agenda pembaharuan ke parlimen sekiranya beliau dipilih kelak.

Lihat Komen
ADS