Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai tempoh seminggu untuk membincangkan logo tunggal yang akan mereka gunakan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sepanjang tempoh itu pemimpin HARAPAN akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memilih logo yang akan digunakan bagi menghadapi BN tidak lama lagi.

Katanya keputusan memberi tempoh selama tujuh hari itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di bangunan parlimen hari ini.

“Kita telah putuskan seminggu untuk mesyuarat Majlis Presiden akan datang untuk menentukan simbol akan dipilih dan digunakan oleh HARAPAN,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang.

PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menghantar permohonan untuk mendaftarkan gabungan itu secara rasmi pada Julai 2017.

Bagaimanapun proses yang pada awalnya kelihatan mudah itu setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir seperti yang diharapkan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum mendaftarkan HARAPAN ketika tarikh PRU ke-14 semakin hampir.

Ada rakan strategik

PRU itu mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini, namun banyak pihak menjangkakan parlimen akan dibubarkan lebih awal. Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi lain, tarikh PRU di negara ini biasanya dirahsiakan perdana menteri sehingga ke saat-saat akhir.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata cuma ada tiga negeri belum menyelesaikan pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Beliau berkata HARAPAN telah memutuskan untuk memberi masa seminggu lagi supaya kemelut berkenaan dapat diselesaikan.


Baca HARAPAN negeri boleh berpakat guna satu logo


“HARAPAN sudah selesai mengagihkan kerusi di Kedah, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Johor Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

“Tiga lagi negeri belum selesai kerana ada masalah kecil-kecilan dan itu akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya tanpa mahu menjelaskan maksud kenyataan itu lebih lanjut.

Selain itu Dr Mahathir juga turut mengumumkan penyertaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sebagai rakan strategik HARAPAN.

Mahathir berkata ketetapan tersebut dibuat bagi mengiktiraf Hindraf sebagai pertubuhan yang aktif mewakili kaum India sekali gus perlu diberi layanan istimewa.

Bagaimanapun katanya buat masa ini HARAPAN tidak bercadang untuk menerima parti lain menyertai mereka dan bertanding dalam PRU.

"Rakan strategik yang telah kita tentukan ialah Hindraf dan ada kemungkinan kita umumkan rakan strategik yang lain seperti NewGen," katanya.

Lihat Komen
ADS