Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuok berterima kasih kepada rakyat yang membelanya
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 6:55 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Lelaki terkaya di Malaysia Robert Kuok hari ini merakamkan rasa terima kasih kepada rakyat negara ini yang membelanya berikutan percubaan untuk mencemarkan nama baiknya sejak kebelakangan ini.

"Encik Kuok ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan-rakan di negara ini yang membela dan menentang percubaan untuk mencemarkan reputasinya serta mempertikaikan kesetiaannya kepada negara," petik kenyataan dari pejabatnya hari ini.

Menurut kenyataan itu, aduan telah difailkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai tiga artikel oleh blog Malaysia Today yang mendakwa bahawa beliau menaja parti DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight.

Pejabat Kuok menggambarkan ini sebagai dakwaan "palsu" dan "tidak berasas".

“Encik Kuok amat berterima kasih atas tindakan segera dan bersesuaian yang diambil oleh biro aduan dan bahagian penguatkuasaan dan penyiasatan SKMM," petik kenyataan itu.

Sementara itu, pejabat Kuok berkata surat tuntutan telah disampaikan kepada Malaysia Today dan Raja Petra di Malaysia dan di United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, Raja Petra, yang menetap di Manchester, tidak menjawab surat tersebut.

"Encik Kuok mengambil maklum bahawa Malaysia Today dan Raja Petra Kamarudin terus membuat kenyataan yang tidak berasas sama sekali dalam beberapa artikel berkaitan yang diterbitkan di Malaysia Today.

"Oleh itu, Encik Kuok berhak untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap Malaysia Today dan pengarangnya, dan sesiapa yang mengulangi kenyataan yang memfitnah itu," kata pejabat Kuok.

Lihat Komen
ADS