Siapa biayai parti politik hadapi PRU14?
ULASAN | Di tengah-tengah keriuhan mengenai pilihan raya, ada satu dimensi kritikal yang tidak mendapat perhatian sewajarnya, sama ada di kalangan ahli politik atau rakyat secara umum.
Isunya ialah pembiayaan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Siapa yang membiayai BN dan siapa pula yang membiayai Pakatan Harapan (HARAPAN)? Dari mana PAS mendapat dananya?
Apakah lebih banyak syarikat perniagaan terlibat membiayai pilihan raya berbanding rakyat secara individu? Apakah juga ada penglibatan unsur-unsur asing?
Hanya sedikit yang kita tahu tentang pembiayaan pilihan raya di Malaysia kerana undang-undang mengenainya tidak memadai.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang amalan rasuah dan menyeleweng semasa kempen pilihan raya, serta menetapkan had perbelanjaan kempen bagi setiap calon sebanyak RM200,000 bagi kerusi parlimen dan RM100,000 bagi kerusi negeri.
Bagaimanapun akta berkenaan tidak meliputi perbelanjaan parti politik sebagai sebuah entiti.
Menang kerana beli undi
Parti politik yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1960 dikehendaki menyerahkan penyata kewangan yang diaudit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi mereka tidak perlu mendedahkan sumber sumbangan yang diterima.
Oleh kerana kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam soal sumbangan derma serta pembiayaan politik secara menyeluruh, sejak bertahun-tahun lalu ada syak wasangka tentang pengaruh wang dalam pilihan raya.
Sekiranya dasar-dasar awam condong memihak kepada kalangan atasan dalam masyarakat, adakah ia kerana syarikat-syarikat besar menyumbang dana kepada parti politik tertentu?

Sekiranya keuntungan pemaju yang ada hubungan baik dengan kerajaan nampak mengatasi kebajikan rakyat miskin atau kesejahteraan alam sekitar, adakah ia kerana dana yang mereka salurkan kepada parti politik dan ahli politik?
Sekiranya ahli politik tertentu meraih lebih sokongan berbanding lawannya dalam pemilihan parti, adakah kerana individu terbabit membeli undi anggota parti?
Bukankah politik wang menjadikan sesetengah ahli politik terdedah kepada manipulasi entiti dan agensi asing yang memperjuangkan agenda mereka berbanding agenda negara?
Sejak tahun-tahun awal merdeka, kesan buruk wang ke atas politik dan kuasa sudah dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan atau individu di Malaysia.
Pada 1950-an dan 1960-an parti-parti pembangkang seperti Parti Negara, Parti Rakyat Malaysia, Parti Buruh dan PAS mengkritik apa yang mereka anggap sebagai salah guna wang oleh Perikatan untuk menang pilihan raya serta kaitannya dengan perniagaan.
Baca Equanimity tak jejas sokongan pada BN
Sejak 1970-an dan seterusnya, parti-parti seperti DAP, Pekemas, PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus menerus mengecam BN atas dakwaan mereka tunduk kepada kepentingan modal dan dana.
Tetapi isu pembiayaan politik bukan keutamaan mereka.
Hak dan kepentingan kaum, kebebasan politik, jurang ekonomi dan isu-isu lain sebaliknya lebih menjadi fokus.
Pada 1970-an dan 1980-an hanya ada sedikit kumpulan masyarakat sivil dan isu bagaimana parti-parti politik membiayai gerakan masing-masing bukanlah antara keutamaan pertubuhan-pertubuhan berkenaan.
Tetapi tidak bagi kumpulan reformasi sosial, Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), yang saya ketuai pada tahun-tahun itu yang cuba menanam kesedaran tentang hubung kait antara politik dan wang melalui kempen sederhana.
Cadang pembaharuan sistem
Antara lain ALIRAN menyeru calon-calon pada PRU 1978 untuk mengisytiharkan harta kepada rakyat.
Hanya dua pemimpin politik - seorang daripada PAS dan seorang DAP - menyahut usaha itu dengan positif.
Beberapa tahun kemudian saya dan empat penggerak hak asasi manusia menubuhkan "Pemantau Pilihan Raya" yang cuba memantau perjalanan PRU 1990.
Antara tumpuannya ialah melihat bagaimana wang memainkan peranan dalam pilihan raya.
Hari ini, kumpulan yang komited mendedahkan hubung kait antara wang dan politik sudah berkembang.
Ia ditambah pula dengan berleluasanya amalan politik wang telah meyakinkan pemerintah untuk menangani isu ini dengan tuntas.

Malah pada 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan pembaharuan dalam sistem pembiayaan politik Malaysia.
Sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan yang antara lain mencadangkan kemungkinan sebuah dana awam diwujudkan bagi membiayai pilihan raya.
Laporan jawatankuasa itu diterima parlimen pada 2012.
Tiga tahun kemudian - pada Ogos 2015 - Jawatankuasa Perundingan Pembiayaan Politik dibentuk terdiri daripada wakil pelbagai sektor dalam masyarakat dengan matlamat mengukuhkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti dalam pembiayaan politik.
Baca Indeks rasuah: Malaysia kini setaraf Cuba
Jawatankuasa itu mengemukakan beberapa cadangan pada Ogos 2016 termasuk usul menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA).
Akta itu akan memperkenalkan seorang "Pengawal" yang akan memantau semua sumbangan dan perbelanjaan "tanpa gentar atau memihak."
Sebuah lembaga yang terdiri daripada "tokoh yang berwibawa dan dipercayai, dan tidak disertai ahli politik yang aktif" akan memantau Pengawal.
Tak sukar berhubung
Selain itu, jawatan perunding mencadangkan agar Jawatankuasa Tetap Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan dan memeriksa tugas-tugas Pengawal.
Ia hendaklah dipengerusikan oleh seorang wakil daripada pembangkang.
Sebuah badan masyarakat sivil, G25, juga mengutarakan beberapa usul bernas bagi mengukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban pembiayaan politik.

Selain menggubal Akta Parti Politik, ia mencadangkan had sumbangan dan perbelanjaan; melindungi autonomi dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya, menyediakan akses yang saksama ke atas dana awam bagi parti politik dan calon pilihan raya, serta mengawal pembiayaan politik oleh pihak swasta.
Menjelang PRU ke-14, rakyat harus membentuk kumpulan masing-masing bagi membincangkan hal-hal ini dan cadangan-cadangan lain.
Rakyat harus melakukan lebih daripada itu. Sebagai pengundi mereka wajar meminta semua calon parlimen tanpa mengira latar belakang parti untuk menyatakan secara bertulis apakah mereka bersedia untuk menyokong PDEA.
Tidak sukar untuk berhubung dengan calon di kawasan pilihan raya masing-masing.
Dengan pelbagai wadah komunikasi yang ada, setiap pengundi atau sekumpulan pengundi boleh menanyakan soalan mudah tentang PDEA kepada calon yang mahu meraih sokongan mereka.
Kita sebagai pengundi dan rakyat mahu wakil rakyat yang dipilih meluluskan cadangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik menjadi undang-undang kerana kita yakin ia akan memainkan peranan yang besar dalam mengukuhkan akauntabiliti dan memastikan integriti menjadi ciri negara ini.
DR CHANDRA MUZAFFAR ialah pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.
Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

