Ahli perniagaan M'sia nafi disiasat FBI
Ekoran satu laporan mengaitkan dirinya dengan siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS ke atas anak Presiden AS, Donald Trump, hari ini ahli perniagaan Malaysia, Tiah Joo Kim, tampil membuat penjelasan.
Kata Tiah melalui syarikatnya, TA Globab Bhd, tiada mana-mana pihak berkuasa AS menghubunginya atau syarikatnya berhubung projek Ivanka Trump yang disiasat.
Katanya, semua perjanjian ditandatangani sebelum Trump mengumumkan hasratnya bertanding merebut jawatan presiden AS.
“TA Global dan Tiah Joo Kim tidak dihubungi oleh FBI atau mana-mana pihak berkuasa berhubung hal yang dibangkitkan dalam laporan media CNN.
"Pelesenan jenama dan perjanjian pengurusan hotel di antara The Trump Organization, Holborn Group dan TA Global Bhd untuk Trump International Hotel and Tower di Vancouver berlangsung pada Mac 2013, sebelum pengumuman Trump untuk bertanding dalam pilihan raya (presiden) 2016," kata Tiah dalam kenyataan hari ini.

Awal bulan ini CNN mendakwa FBI sedang menyiasat hubungan perniagaan antara Ivanka dengan Tiah.
Memetik sumber daripada pegawai AS, laporan eksklusif itu mendakwa FBI sedang meneliti "rundingan dan pembiayaan" Trump International Hotel and Tower di Vancouver, Kanada.
Ivanka didakwa "memainkan peranan utama" dalam rundingan perjanjian berkenaan dengan firma pembangunan harta tanah milik Tiah, Holborn Group, yang membina dan masih mengurus menara berkenaan.
Bangunan itu dirasmikan selepas pelantikan Trump sebagai presiden dan mencetuskan wasangka bahawa ia mungkin ada kaitan dengan pendanaan kempen pilihan raya tokoh berkenaan.
Holborn Group ialah firma pembangunan hartanan Tiah dan berpangkalan di Vancouver, Kanada.
Menurut CNN, menara bernilai AS$360 juta (RM1.41 bilion) itu setinggi 63 tingkat dan menempatkan 217 unit kediaman mewah, 147 bilik hotel serta spa Ivanka Trump.
Suami Ivanka, Jared Kushner, pula disiasat agensi penguat kuasa AS kerana disyaki melalukan kesalahan dengan pihak Russia.
Tiah bagaimanapun menafikan dia ada hubungan dengan Kushner.

