4 negara Eropah tidak akan diskriminasi minyak sawit - Mah
Empat negara anggota Kesatuan Eropah (EU) -- Sepanyol, Itali, Belanda dan Perancis – bersetuju untuk tidak mendiskriminasikan minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata menteri-menteri dari negara berkenaan memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang diskriminasi terhadap minyak sawit.
"Saya yakin ke atas negara-negara ini. Semasa bercakap dengan menteri mereka pada perbincangan, mereka berkata tidak akan menyokong sebarang diskriminasi terhadap minyak sawit, dan saya pasti mereka akan berpegang kepada keputusan itu pada sesi pengundian akhir,” katanya kepada pemberita di persidangan dan pameran tahunan minyak sawit dan minyak laurik 2018 (POC 2018) di ibunegara semalam.
Mah berkata walaupun Parlimen Eropah sudah mengundi pada Januari, ia masih perlu berbincang dengan Majlis Menteri dalam tiga mesyuarat, pertama berlangsung pada 7 Feb, diikuti satu lagi pada April dan terakhir pada Mei.
Beliau berkata isu minyak sawit di EU mesti dtangani sebelum perjanjian perdagangan bebas dimuktamadkan.
"Eropah ialah peneraju dalam perdagangan bebas, dan diskriminasi ke atas minyak sawit bertentangan dengan prinsip itu,” katanya.
Mah berkata beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya dari enam negara semasa lawatan kerja ke Eropah baru-baru ini, dan berpuas hari terhadap pendirian mereka berhubung minyak sawit.
"Fakta mengenai minyak sawit yang mereka ada diputar-belitkan memandangkan Malaysia mementingkan kelestarian serta melindungi alam sekitar.
"Satu lagi salah tanggapan ialah kelapa sawit di Malaysia diusahakan oleh syarikat besar, sedangkan yang sebenarnya 40 peratus penanam sawit atau kira-kira 50,000 individu terdiri daripada pekebun kecil yang bergantung kepada pendapatan daripada minyak sawit,” katanya.
POC 2018 selama tiga hari yang bermula semalam, dianjurkan oleh Bursa Malaysia Bhd, dan menarik 1,700 peseta.
POC 2018 ialah platform utama antarabangsa dalam industri minyak sawit, minyak laurik yang menghimpunkan pelbagai pemegang kepentingan dalam industri minyak dan lelamak.
Sementara itu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad berkata pemain minyak sawit perlu mencari pasaran eksport baharu dan mengembangkan perniagaan mereka ke negara-negara yang mempunyai permintaan daripada hanya menumpukan kepada EU.
"Terdapat banyak negara yang mahu membeli produk minyak sawit selain EU, seperti negara-negara di Asia Tenggara,” katanya semasa persidangan meja bulat POC 2018) semalam.
Zakaria berkata pemain minyak sawit tidak seharusnya merasa bimbang dengan hasrat EU untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel, sebaliknya mereka perlu menumpukan untuk mempertahankan diri mereka daripada diskriminasi ini.
"Isu ini tidak akan berhenti. Mereka akan tetap serang kita dan cari kelemahan minyak sawit, tidak kiralah sebanyak mana alasan baik yang anda berikan untuk mempertahankan industri.
"Saya telah berada dalam industri ini selama lebih 40 tahun dan EU masih tetap menyerang kita – dengan pelbagai alasan daripada (perlindungan) Orang Hutan hinggalah kepada isu-isu kesihatan – dan sekarang mereka kembali kepada isu penebangan hutan,” katanya.
Zakaria berkata industri minyak sawit tidak akan berkubur walaupun EU meneruskan rancangan mereka untuk menghentikan secara berperingkat penggunaan minyak sawit dalam biofuelnya menjelang 2021.
Sementara itu, Naib Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd Datuk Carl Bek-Nielsen berkata pengeluar minyak sawit perlu bekerjasama untuk membuatkan EU memahami bahawa cadangan larangan itu adalah sama sekali tidak adil.
"Sudah tiba masanya untuk kita bersatu, menyuarakan dengan jelas pendirian kita kepada EU bahawa kita tidak lagi akan bertoleransi dengan perkara ini. Dengan berbuat demikian (menghentikan penggunaan minyak sawit dalam campuran biofuelnya) EU telah membina lebih banyak lagi halangan perdagangan dan ia mesti menghentikan diskriminasi tanaman ini,” tegasnya.
- Bernama

