Kerajaan berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan “dedak” atau satu bentuk rasuah, sebaliknya hadiah kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Othman Aziz berkata demikian kepada Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang membangkitkan pertikaian berkaitan pengedaran BR1M.

“Orang Mersing kata ini hadiah daripada kerajaan, belah sana (pembangkang) kata ini dedak, rasuah,” kata Abdul Latiff di Dewan Rakyat.

Othman kemudian berkata BR1M adalah hadiah kerajaan kerana ia mampu membiayai bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.

“Kalau dedak yang saya faham hanya untuk ayam. Takkan nak samakan penerima BR1M dengan ayam, lembu.

“Rasuah kalau (letak syarat) tolong saya macam ini, dapat macam ini. Itu rasuah. Ini tidak,” katanya.

Istilah 'dedak' dipopularkan oleh calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan wang untuk memenangi hati rakyat.

[Baca berita asal]