Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manifesto: HARAPAN ikrar had kuasa k'jaan dalam masa 5 tahun

EKSKLUSIF | Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14, yang dijadual akan dibentang esok, akan memperkenalkan kaedah untuk mengehadkan kuasa di peringkat pusat dan juga negeri - termasuk had penggal bagi pemimpin.

Manifesto HARAPAN akan merangkumi sepuluh janji yang akan dicapai dalam masa seratus hari pertama pentadbiran, dan 60 janji jangka panjang yang akan dilakukan dalam masa lima tahun pertama.

Dalam rancangan jangka panjangnya yang dikongsi dengan Malaysiakini, cadangan penurunan kuasa bukan hanya untuk Sabah dan Sarawak tetapi melibatkan pelbagai institusi.

Untuk mencapainya, HARAPAN dijangka mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan had dua penggal di peringkat pusat dan negeri.

Jika BN berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU nanti, Datuk Seri Najib Razak akan memasuki penggal keduanya sebagai perdana menteri - atau ketiga, jika mengambil kira beliau naik ke jawatan itu selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan pada 2009.

Bagi pemimpin HARAPAN pula, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memasuki penggal kedua sebagai menteri besar Selangor - tetapi penggal pertama bawah mandatnya sendiri - jika gabungan itu berjaya mengekalkan kemanangan di negeri itu.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan memasuki penggal ketiga sebagai ketua menteri.

Tidak jelas sama ada manifesto ini akan memberi kesan kepada Lim jika HARAPAN menang sekali lagi di Pulau Pinang.

HARAPAN juga dijangka mengumumkan langkah memperkasa perkhidmatan awam yang sekian lama di bawah kuasa politik BN.

Ia juga akan mengumumkan reformasi institusi utama bagi menjamin kebebasannya dan menamatkan pemisahan kuasa yang kabur pada masa ini.

Manifesto jangka panjang HARAPAN juga mungkin merangkumi langkah mengurangkan kuasa pusat di Sabah dan Sarawak, hal yang telah lama dijanjikan gabungan pembangkang itu.

Perincian penuh manifesto akan dibentangkan dalam program malam esok yang akan dihadiri pemimpin tertinggi HARAPAN.

Lihat Komen
ADS