Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan lima kelemahan paling ketara di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Katanya, antara lima kelemahan itu, yang paling besar adalah masalah air yang menyusahkan kehidupan rakyat di Selangor.

"Pagi Jumaat yang lalu, (berlaku) kurang air semua susah hati. Kurang air kerana gagal diuruskan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Dia (Pakatan Harapan) ambil kira politik, kita ambil kira masalah rakyat," kata Najib kepada kira-kira 1,000 hadirin ketika merasmikan majlis jamuan rakyat dan jentera pilihan raya BN di Hulu Selangor.

Menurut Najib, Kelantan yang ditadbir oleh PAS tidak mengalami masalah air dan boleh menguruskan soal air.

"Di sini (Selangor) jadi masalah sebab dia (Pakatan Harapan) politik pertama bukan hal rakyat pertama, dia nak ambil kira politik kita (BN)ambil kira rakyat.

"Syabas dah cakap ada enam kritikal dan cemas, kira macam telur di hujung tanduk. Kualiti air semakin teruk, tekanan rendah, khidmat pelanggan tak baik.

"Jadi apa cara nak selesai? Tukar dan tawan Selangor. Kita janji selesai soal air bila BN tawan Selangor," kata Najib.

Beliau  seterusnya, berkata, kelemahan kedua kerajaan negeri Selangor adalah masalah perumahan termasuklah harga rumah yang terlalu tinggi dan kekurangan rumah kos rendah.

"Kini sebab cukai naik di Selangor. Selangor tambah cukai sebab itu harga rumah naik," kata Najib.

Selain itu, beliau juga membidas pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yang dikatakan mengenakan cukai pintu yang tinggi.

Malah, kata Najib air laut pun juga dikenakan cukai.

"Keempat sampah bertambah dan perlupusan tidak cukup.

"Kelima, sungai kotor, sesak sana sini dan Selangor jadi penyakit denggi jagoh negara," katanya.

Najib berkata lima masalah besar itu hanya boleh selesai sekiranya BN kembali berkuasa di Selangor.

"Kita beritahu rakyat, kita tak boleh selesai satu persatu (masalah atas) tanpa ada kuasa politik di tangan BN," katanya.

Selangor jatuh ke tangan pakatan pembangkang pada 2008. 'Tsunami politik' itu turut menyebabkan kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN, kehilangan kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada gabungan parti PKR, DAP dan PAS berjaya mengekalkan kuasa di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu setelah memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

BN pula hanya mampu memenangi 12 kerusi DUN.

Lihat Komen
ADS