Mahkamah tolak permohonan ZI Publications cabar serbuan JAIS
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya, Mohd Ezra Mohd, untuk mencabar serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi merampas naskhah buku terjemahan bertajuk, 'Allah, Kebebasan dan Cinta', karangan Irshad Manji.
Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said mengumumkan keputusan itu setelah memutuskan bahawa waran geledah dan tindakan merampas buku berkenaan dibuat bagi menjalankan penyiasatan jenayah berkaitan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, sejajar dengan kuasa yang diberi di bawah enakmen itu.
"Pelaksanaan kuasa dalam menjalankan penyiasatan jenayah tidak terbuka kepada semakan semula di bawah Perintah 53 Peraturan Mahkamah 2012. Oleh itu, isu yang dibangkitkan berkaitan waran geledah dan rampasan buku berkenaan adalah di luar skop bidang kuasa semakan kehakiman.
"Kuasa merampas apa sahaja sebagai barang bukti telah diperuntukkan di bawah Seksyen 46 Enakmen itu. Tidak terdapat sebarang kesalahan dengan waran geledah itu kerana ia mematuhi borang berkanun yang disediakan di bawah Enakmen itu," katanya.
Hakim itu juga berkata Seksyen 16 Enakmen Negeri Selangor boleh dibuat semakan kehakiman berhubung ketekalannya dengan Perlembagaan Persekutuan dan kesahan berbangkit yang akan ditentukan mahkamah.
Katanya, Seksyen 16 Enakmen itu terletak dalam kerangka perlembagaan dan sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Pemohon kedua (Mohd Ezra) ditangkap kerana kemungkinan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Enakmen Negeri Selangor, kesalahan mengikut Seksyen 16 Enakmen itu tidak terikat dengan sesuatu fatwa atau malah perintah larangan," katanya.
Kamaludin berkata kuasa bagi responden ketiga (ketua penguatkuasan JAIS) untuk melakukan siasatan diperuntukkan di bawah Bahagian IV Enakmen Negeri Selangor dan siasatan terhadap pemohon masih berterusan.
ZI Publications dan Mohd Ezra memfailkan permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman pada 9 Julai 2012, dengan menamakan JAIS, pengarahnya, ketua penguatkuasaan JAIS, ketua pendakwa syarie Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara lain, mereka mohon satu perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai JAIS menyerbu dan merampas 180 buku pada 29 Mei 2012 di ZI Publications, yang beralamat di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan siasatan terhadap Mohd Ezra adalah tidak sah kerana mendakwa ia tidak sejajar dengan Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 10 Perlembagaan Perskeutuan adalah berkaitan kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat, hak untuk berkumpul secara aman dan berpersatuan. -Bernama

