Dr Mahathir: Saya tukar pandangan selepas sertai BERSIH
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa pandangannya mengenai gabungan pembaharuan pilihan raya BERSIH berubah selepas beliau menyertai perhimpunan BERSIH 4 dan 5.
Memberi keterangan dalam saman bekas pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ke atas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Mahathir mengakui pernah berkata selepas BERSIH 3, masa depan perhimpunan itu akan menjadi lebih ganas.
Dalam catatan di blog bermula 2012, beliau dilaporkan pernah berkata himpunan BERSIH dijangka menjadi"demonstrasi ganas" sekiranya Pakatan Rakyat gagal memenangi pilihan raya umum ke-13.
"Ya, saya bersetuju bahawa itu adalah pandangan saya ketika itu," katanya di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.
Mahathir menjawap soalan daripada peguam Jamal, Mohd Nasser Yusof. Beliau adalah saksi kedua Nasser.
Walau bagaimanapun, apabila disoal-balas oleh peguam Maria, N Surendran, pemimpin pembangkang itu berkata, pandangannya kini sudah berubah.
"Himpunan (BERSIH 4) adalah aman... peserta juga mengutip sampah. Selepas BERSIH 4, saya turut menyertai BERSIH 5," katanya.
Apabila disoal semula oleh Nasser, Mahathir menegaskan bahawa pandangannya terhadap BERSIH - yang menuntut penganjurkan pilihan raya secara bebas dan adil - berubah ketika beliau menyedari bahawa pemimpinnya tidak mempunyai kecenderungan untuk mengganas.
Maria telah memfailkan saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaannya pada September dan Oktober 2016 bahawa BERSIH diserapi oleh IS.

