Terjemahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menyamakan majlis kerajaan tempatan (PBT) sebagai sebuah 'kongsi gelap'.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang dimaksudkannya ialah PBT ditadbir secara 'gelap'.

Beliau mendakwa pihak media telah memutarbelitkan cakapnya itu.

Bagaimanapun, kata Kayveas, laporan itu telah menarik perhatian ramai dan memberi publisiti meluas terhadap isu tersebut.

Beliau tetap dengan pendiriannya bahawa banyak amalan rasuah berlaku dalam PBT dan ia perlu ditangani untuk merealisasikan matlamat perdana menteri untuk mewujudkan satu pentadbiran yang bersih.

"Jika mahu membanteras rasuah, ianya paling teruk berlaku dalam majlis kerajaan tempatan...dari memotong rumput hinggalah kepada kutipan sampah...rasuah berlaku," dakwanya.

Ketika ditemui di bangunan Parlimen semalam, Kayveas berkata beliau tidak faham mengapa yang dipertua dan ahli majlis kerajaan tempatan perlu marah kepadanya.

Jadi sasaran

Sebaliknya, kata beliau, apa yang dibangkitkannya ialah mengenai kedudukan mereka yang tidak mempunyai kuasa (untuk bertindak) kerana perbuatan rasuah yang berlaku dalam majlis tersebut.

Katanya, mereka sepatutnya meneliti kenyataannya itu dan menerimanya sebagai satu cabaran.

Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) menjadi sasaran pegawai tinggi majlis kerajaan tempatan, berikutan laporan hujung minggu lalu, yang memetiknya sebagai menyamakan PBT sebagai 'kongsi gelap'.

Beliau juga dilaporkan mengkritik PBT kerana berbelanja lebih daripada hasil yang diperolehi.

Ditanya sama ada beliau pernah menerima aduan khusus daripada orang ramai mengenai PBT, Kayveas berkata, beliau menerima beribu-ribu aduan sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, walaupun sesetengah majlis kerajaan tempatan itu ditadbir dengan dengan baik, tetapi majoriti daripadanya tidak sedemikian dan rasuah.

Menurutnya, PBT tersebut sepatutnya lebih bersikap 'mesra rakyat dan menjadi kebanggaan awam'.

Kayveas juga mendakwa ada PBT yang bersikap 'memilih' dalam menjalankan penguatkuasaan di mana sesetengah gerai makan dibenarkan meletakkan kerusi di tepi jalan, manakala yang lainnya dilarang berbuat demikian.

Masa kegemilangan PPP

Ditanya mengapa baru sekarang beliau membangkitkan perkara tersebut, timbalan menteri itu berkata: "Saya telah lama bercakap mengenai kerajaan tempatan sejak 15, 20 tahun lalu, sebelum saya menjadi presiden PPP, sebelum saya menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Dan saya akan terus bercakap mengenainya.

"Sama ada saya akan berjaya atau tidak, tunggu dan lihatlah. Tetapi sekurang-kurangnya, biarlah saya yang memulakannya. Orang lain mahu kepentingan mereka...," katanya.

Kayveas berkata, beliau membangkitkan isu tersebut untuk mendapatkan maklumbalas dan mencari jalan terbaik untuk menangani masalah tersebut.

Diatanya adakah beliau sedang berusaha untuk mengembalikan kegemilangan PPP, beliau berkata: "Memang ya. PPP adalah sinonim dengan kerajaan tempatan. Kami sentiasa bersama rakyat bawahan." / Berita asal