'Saya hanya saman Guan Eng seorang'
Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To menafikan beliau gemar menyaman orang seperti didakwa Lim Guan Eng.
Sebaliknya katanya beliau hanya menyaman seorang individu sepanjang hidupnya iaitu ketua menteri Pulau Pinang itu sendiri.
Perang mulut antara mereka bermula susulan kenyataan Lim awal hari ini yang menggelar See-To sebagai "pembohong" apabila mendakwa Lim Kit Siang sebagai pemimpin teratas dalam DAP.
Ini selepas Guan Eng menolak cabaran Wee mengadakan debat terbuka mengenai isu terowong di Pulau Pinang dengan mengatakan beliau hanya akan berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Guan Eng juga berkata See-To bebas mengambil tindakan terhadapnya berikutan label "pembohong" itu dan memandangkan beliau gemar menyaman orang.
Ketua menteri itu berkata beliau juga pernah disaman See-To sebelum ini namun ia telah ditarik balik.
See-To mempersoalkan sama ada Guan Eng benar-benar pemimpin nombor satu dalam DAP seperti didakwa kerana ia juga bermaksud bapanya sendiri adalah "macai" seperti orang lain dalam parti itu.
Beliau juga berkata saman fitnah terhadap Guan Eng sebelum ini diselesaikan dengan baik berikutan permintaan hakim di dalam kamar.
"Kerana menghormati hakim, saya tidak akan mengulangi apa yang dikatakan Guan Eng kepada saya mengenai mengapa kita perlu menyelesaikannya. Guan Eng tahu apa yang dikatakannya.
"Bagaimanapun, saya dapat mengesahkan bahawa sebelum kita memasuki mahkamah, Ronnie Liu dari DAP meminta saya dua kali untuk menyelesaikan kes saya terhadap Guan Eng. Peguam saya juga ada di sana dan dia boleh menjadi saksi saya," katanya.
See-To mendakwa Guan Eng sebenarnya yang gemar menyaman orang.
Beliau mengaitkan tiga saman dikemukakan ketua menteri itu terhadap Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo kerana mempersoalkan proses rundingan terus dalam penjualan tanah Peel Avenue di negeri itu.

