KWSP pertimbang saman pihak berniat jahat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan kepada semua anggotanya bahawa ia mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan mantap bagi mencegah sebarang penipuan ke atas dana anggotanya.
Institusi keselamatan sosial itu turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menerbitkan kenyataan berniat jahat.
KWSP, setakat September 2017 mempunyai 13.72 juta anggota.
Dalam kenyataan hari ini, KWSP menyangkal dakwaan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai pemindahan dana dan bon dalam jumlah yang besar daripada KWSP melalui kaedah penipuan.
“KWSP menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa surat dan kertas cadangan yang didakwa wujud merupakan dokumen palsu.
“Oleh itu, kertas cadangan yang tersebut tidak pernah dikemukakan kepada KWSP dan tidak pernah dipertimbangkan langsung,” menurut dana persaraan itu.
KWSP berkata pihaknya berpegang teguh kepada mandat melindungi dan memelihara simpanan anggotanya.
“Memandangkan terdapat percubaan untuk merosakkan reputasi dan menimbulkan keraguan terhadap integriti KWSP dengan sengaja secara berturut-turut, kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menerbitkan kenyataan berniat jahat ini,” kata KWSP.
Sebelum ini, Sarawak Report menerbitkan satu artikel yang mendakwa “staggering sum derived from Employees Provident Fund (EPF) was transferred in January into RHB’s dollar account here of a little known entity named TJJR Diversified (M) Sdn Bhd, a company owned and directed by one woman, supposedly charged with coordinating a major hospital project supported by EPF and the Ministry of Health”.
(“sejumlah besar wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipindahkan pada Januari ke dalam akaun dolar RHB di sini di bawah nama entiti kurang dikenali, TJJR Diversified (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki seorang wanita yang juga pengarah, yang didakwa menyelaras sebuah projek hospital besar dengan disokong KWSP dan Kementerian Kesihatan”.)
KWSP hari ini turut menegaskan bahawa tiada sebarang pemindahan dana atau bon seperti yang didakwa.
“Berikutan daripada audit tahunan yang dijalankan Jabatan Audit Negara, kami boleh mengesahkan bahawa bon yang dipersoalkan masih kekal dalam pemilikan KWSP, melalui pengesahan yang diterima daripada PayNet pada Januari 2018,” menurut KWSP.
Paynet merupakan pengendali sistem pembayaran yang diluluskan dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dan adalah anak syarikat BNM.
“Kami sekali lagi menegaskan bahawa transaksi yang disebutkan tidak pernah berlaku, manakala kedua-dua RHB Bank dan HSBC Bank juga mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan tersebut,” kata KWSP.
Menurut KWSP, rangka kerja tadbir urusnya memerlukan semua kertas cadangan melalui proses penilaian pelaburan yang ketat meliputi analisis komprehensif, penilaian risiko dan usaha wajar oleh pasukan pakarnya.
“Sebaik sahaja cadangan itu lulus dalam saringan peringkat pertama, maka ia tertakluk kepada pertimbangan yang lebih terperinci oleh Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan (MIC), yang terdiri daripada anggota kanan Bahagian Pelaburan serta anggota pengurusan tertinggi KWSP.
“Hanya setelah mendapat kelulusan daripada MIC, kertas cadangan akan dibawa ke Panel Pelaburan untuk pertimbangan selanjutnya sebelum mendapat kelulusan akhir. Panel Pelaburan dianggotai oleh profesional industri, anggota pengurusan kanan KWSP, serta wakil daripada BNM dan kerajaan,” katanya. -Bernama

