Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN tawar rakyat Johor bekalan air percuma seperti di S'gor

Kehidupan menjadi semakin sukar bagi pemandu teksi Salim Ibrahim yang berusia 58 tahun sejak wujud perkhidmatan seperti Grab dan Uber yang menjejaskan permintaan terhadap penggunaan teksi.

"Dulu boleh la dapat RM70, RM80 (sehari),sekarang nak dapat RM20, RM30 pun susah," kata Salim kepada Malaysiakini sambil menunggu pelanggan di stesen bas Muar pada hari Ahad.

Dengan tujuh mulut untuk diberi makan, dalam keadaan pendapatannya yang berkurangan, ia diburukkan lagi dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Ini kisah yang didengar di seluruh negara, tetapi bagi Salim yang tinggal di Johor, beban kenaikan kos menjadi lebih sukar oleh bil air di negeri itu yang paling mahal di negara ini.

"Saya bayar sebulan dalam RM50 hingga RM60 [...] Memang mahal [...] patut lagi rendah, tapi harga dah tetap kena ikut je la, kalau nak guna air, kalau tak, tak mandi, tak cebuk," Salim mengeluh.

Di Johor, harga air mencecah 80 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama, kadar tertinggi di negara ini dan 23 sen lebih tinggi daripada di Lembah Klang. Kos meningkat dengan ketara setiap meter padu berikutnya.

Malah golongan profesional seperti eksekutif minyak dan gas, Jimmy Azmi Harun pun merasakan kadarnya terlalu tinggi.

"Saya pun tidak perasan bila ia (tarif) naik, saya perasan tahun lepas, tiba-tiba mahal," kata Azmi, 42.

Ini adalah keadaan yang mahu dimanfaatkan oleh Pakatan Harapan Johor dengan menawarkan bekalan air percuma, sama seperti apa yang ditawarkan di Selangor.

"Kat Selangor (air) percuma, kat Muar (air) percuma?" tanya Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di satu ceramah mini di Sungai Pulai, dengan sekitar 50 hadirin menjawab "Tidak".

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, di satu ceramah berasingan di Sungai Balang pada malam itu, menyalahkan tarif air yang tinggi ke atas kerajaan negeri BN.

"Saya bayar bil air RM50 setiap bulan, kenapa? Kerana tarif air di Johor termahal di Malaysia.

"Kenapa kita nak sokong (menteri besar) Datuk Seri khaled Nordin lagi? Kita Johor jual air kepada Singapura, jual air kepada Melaka, tapi akhirnya tarif air di Melaka lagi rendah daripada Johor. Kenapa nak sokong BN lagi?" katanya.

Janji lain juga

Kerajaan Johor, sebenarnya, mempunyai dasar air percuma, untuk 35 meter padu pertama bagi beberapa kumpulan berpendapatan rendah.

Namun pengguna biasa Johor tetap mengenakan caj 80 sen untuk 20 meter padu pertama atau RM16 secara keseluruhannya, sedangkan ini adalah percuma di Selangor bagi mereka yang mempunyai meter air individu.

Untuk 15 meter padu seterusnya, caj itu ialah RM2 setiap meter padu di Johor dan RM1.03 setiap meter padu di Selangor.

Penggunaan air selanjutnya akan masing-masing dikenakan caj RM3 dan RM2 setiap meter padu, di Johor dan Selangor.

Ini bermakna isi rumah seramai lima orang yang menggunakan 30 meter padu air sebulan akan dikenakan bayaran RM36 di Johor tetapi hanya RM10.3 di Selangor.

Bagi isi rumah yang ramai yang menggunakan 50 meter padu air sebulan, bilnya akan mencapai RM93 di Johor dan RM45.45 di Selangor.

Walaupun tarif air yang tinggi, tidak semua orang di Johor berpendapat yang kadar itu tidak mampu ditanggung, terutamanya bagi kebanyakannya mereka yang mempunyai isi rumah yang lebih kecil.

Pemandu bas, Hassan Mat Noor, 60, yang hanya tinggal bersama isterinya, berkata bil airnya tidak melebihi RM20 sebulan.

"Bagi saya, ia tidak mahal, tapi ada orang Johor kata ia mahal, ikut pada masing-masing," katanya.

Selain janji air percuma untuk semua, HARAPAN Johor juga menyentuh antara lain, tentang bantuan untuk ibu tunggal di Selangor, bantuan belanja pengebumian dan subsidi perubatan sebagai sebahagian daripada kempen mereka. lain.

"Mak saya nak pindah ke Selangor, saya kata jangan, bagi kemenangan kepada Paatan Harapan di Johor dan kami akan bawa perubahan (di sini)," kata Syed Saddiq, yang disebut-sebut akan menjadi calon HARAPAN di Muar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS