Hadi: PAS laksana budaya matang, bukan politik dangkal
PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera berkonsepkan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ secara istiqamah dan hikmah, dan bukan seperti parti pembangkang lain yang memisahkan politik daripada agama, semata-mata untuk memenangi pilihan raya, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam serangan secara berselindung ke atas Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kepemimpinannya, terutama terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata PAS berdepan dengan fitnah dan pembohongan yang dicipta oleh mereka yang sangat dangkal politiknya.
Contohnya, Abdul Hadi berkata terdapat mereka yang melemparkan tuduhan bahawa PAS adalah “parti pengacau” sedangkan partinya itu mempunyai sejarah yang lebih lama berbanding kebanyakan mereka.
“Dia yang menuduh itu, hanya parti yang baru ditubuhkan dan mahu bertenggek di atas riba PAS, sehingga ada yang masih peringkat bayi yang baru dilahirkan, tiba-tiba dia yang baru datang bertenggek itu hanya mahu menumpang jentera PAS dan menuduh PAS pula yang kacau daun.
“Inilah politik yang tidak matang dan sejahtera,” katanya dalam satu catatan di portal Harakadaily, hari ini.
Abdul Hadi kemudian membidas Dr Mahathir, partinya, BERSATU dan sekutunya, DAP dengan menuduh mereka ini “mudah lupa” tanpa menyebut sebarang nama tersebut.
“Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang boleh menerimanya atau bukan Melayu yang mudah lupa juga dan mahu menempah huru-hara tanpa menghormati kedudukan umat Islam yang menerima mereka bersama dalam masyarakat majmuk yang aman sejahtera,” katanya.
Juara politik wang
Mereka itu, menurut Abdul Hadi, lupa bahawa Mahathir adalah "juara politik wang" yang telah merosakkan negara dan partinya sendiri sebelum ini, iaitu - Umno.
“Ibarat ayah yang meminta upah daripada anaknya yang wajib dijaga atau suami yang mewajibkan isterinya membayar upahnya menjadi suami, dia lupa bahawa memberi nafkah itu wajib,” katanya.
Abdul Hadi juga berkata, kalangan yang “sangat dangkal politiknya" turut menuduhnya menerima RM90 juta daripada Umno dan menyindir bahawa tuduhan itu pula dibuat menerusi laman web Sarawak Report yang berpangkalan di London, United Kingdom.
“Dilemparnya batu daripada UK untuk menyembunyikan tangannya, sehingga PAS terpaksa bersusah payah untuk mengerat tangan itu melalui mahkamah di sana.
“Tindakannya laksana binatang padang pasir yang dinamakan burung kasuari yang besar jasadnya menyembunyikan kepalanya sahaja ke dalam tanah.
“Bodohnya menampakkan jasadnya yang besar dan berbulu lebat itu dapat dilihat dengan nyata,” sindir Abdul Hadi.
Balas dendam
Walau apa pun, Abdul Hadi berkata PAS berterusan melaksanakan budaya politik matang dan sejahtera pada musim pilihan raya sehingga mencapai kemenangan untuk melakukan islah, dan bukannya untuk membalas dendam terhadap lawan yang kalah.
“Kalau kalah pun tetap menjadi pembangkang yang menasihat yang tidak jahat terhadap lawan yang mengalahkannya.

“Tidak diizinkan dalam PAS budaya menghukum lawannya secara andaian, dan tidak hanya menggunakan perkataan ‘kalau’ mencapai kemenangan secara murahan,” katanya sambil memetik hadis sahih Muslim “Maka sesungguhnya perkataan kalau sering kali membuka kerja syaitan”.
Abdul Hadi berkata, PAS teguh dan beristiqamah tetap tidak berganjak menghadapi politik fitnah dan bohong kerana kekuatannya laksana bukit yang sudah bertapak di bumi yang kukuh.
“(PAS) tidak perlu melayan suara laksana anjing yang boleh menyalak bukit, hanya babi yang menghuninya lari bertempiaran.
“Adapun bukitnya tidak mungkin diruntuhkan oleh hanya salakan anjing yang bernajis mughallazah itu,” katanya.
Presiden PAS itu mengakhiri catatannya dengan berkata, bahawa tanggungjawab mengisi kemenangan lebih berat daripada mencapai kemenangan.
“Namun (PAS) bersedia meneruskan perjuangan walaupun ditimpa kekalahan di alam dunia ini.
“Sebabnya wawasan kami bukan sekadar tahun 2020 yang sudah hampir, tetapi wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.
“Di mana kejayaan mempertahankan akidah Islamiyyah di dalam diri sehingga akhir hayat menjana kemenangan yang lebih besar di akhirat,” katanya.

