Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gara-gara menuntut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk meletakkan jawatan kerana menolak usul segera yang difailkan pembangkang, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mencadangkan tiga wakil rakyat DAP itu dikenakan tindakan.

"Tuduhan oleh ketiga-tiga MP DAP ini atau kata-kata yang disebut mereka iaitu speaker merupakan sekutu untuk menutup skandal rasuah atau tali barut ini kita pandang sebagai tuduhan yang berat.

"Dan ia seperti biasa, kami faham ia berasaskan kepentingan politik ketiga-tiga MP ini dan sebab itu kalau kita lihat dari segi latar belakangnya (penolakan speaker) sama sekali tidak berkaitan mengenai 1MDB.

"Oleh demikian kita minta kerajaan dan parlimen mengambil tindakan kepada ketiga-tiga MP berkenaan," kata Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan tiga ahli parlimen itu menuntut Pandikar Aminuntuk meletakkan jawatan kerana menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.

Dalam kenyataan bersama, Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) berkata Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi "sekutu untuk menutup skandal rasuah".

Menurut mereka, Pandikar gagal menegakkan kebenaran dan perkara paling mulia untuk dilakukannya adalah meletakkan jawatan atau Parlimen berisiko kehilangan imej dan statusnya yang mulia.

Mereka juga mahu Dewan Rakyat untuk meluluskan satu usul menyegerakan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung 1MDB dan menyatakan jumlah hutang 1MDB yang dijamin oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Shahrir yang juga adalah anggota parlimen Johor Bahru, sekali lagi mempertahankan tindakan speaker dengan menjelaskan Pandikar telah berulangkali menyatakan pandangannya mengenai 1MDB.

"Yang berhormat Speaker pernah beri huraian kepada media mengenai pandangannya mengenai 1MDB tetapi bila dituduh dengan begini liar mengenai sikap dan kuasa budi bicara speaker ini sendiri kami anggap ia perbuatan yang melampau dan haruslah kita mengambil tindakan," katanya.

Kapal The Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Benoa, Bali, minggu lalu.

Pemfailan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Lihat Komen
ADS