Rafidah: Pengkritik perlu rujuk Hansard mengenai isu 'AP'
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tan Sri Rafidah Aziz menggesa pengkritiknya supaya merujuk kepada Hansard Parlimen sebelum membidas cara beliau menangani permit untuk mengimport kereta tanpa sebarang percukaian.
Berikutan bidasan sesetengah pihak terhadapnya, Rafidah pada tahun 2005 pernah memaklumkan kepada Dewan Rakyat 2005 tentang bagaimana kumpulan peniaga kereta terpilih didakwa diberi layanan istimewa oleh Miti.
"Isu AP bukan isu sebenarnya, malah saya pernah jelaskannya di Parlimen! Sila periksa Hansard sebelum memfitnah (saya) dan melakukan dosa," tulis Rafidah di Facebook hari ini.
Beliau merujuk satu artikel baru-baru ini oleh blog Malaysia Today yang mendakwa beliau melakukan kesalahan dalam pengagihan "permit import" atau lazimnya disebut sebagai AP untuk mengimport kenderaan.
Rafidah kemudiannya mendedahkan senarai pemegang AP bermula tahun 1970 hingga 2005, yang menyaksikan Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin Amin, pengasas Kumpulan Naza, dilabelkan sebagai seorang daripada "Raja AP" ketika itu.
Sistem AP diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an sebagai sebahagian daripada usaha Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membantu pengusaha bumiputera menembusi pasaran industri automotif.
Rafidah, yang menjadi menteri Miti dari tahun 1987 hingga 2008, menafikan tuduhan bahawa beliau memberi AP dengan cara yang boleh dipersoalkan.
"Memandangkan, sekarang saya tahu ada seseorang yang menulis tentang AP, adakah mereka ini fikir bahawa AP itu milik datuk saya untuk diberi sebarangan kepada semua?
"Jangan sekali-kali cemarkan nama baik Miti yang saya terajui selama 21 tahun," katanya.
Rafidah berkata bahawa beliau tidak pernah "menyerah atau tunduk" kepada mana-mana perdana menteri - dari Tun Abdul Razak Hussein sehingga era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Jelas sekali, pembodek ini (dan pengkritik) tidak tahu cara saya bekerja, saya berpegang teguh kepada prinsip dan nilai integriti. Ia bimbingan hidup saya," katanya sambil menambah bahawa dirinya adalah seorang teknokrat.
Rafidah berkata bahawa beliau percaya dalam menyuarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat tanpa sebarang niat jahat.
"(Saya akan bersuara) apabila timbul isu-isu timbul dan mereka yang memegang amanah awam memberi penjelasan, penafian atau pembelaan tidak masuk akal, yang tidak boleh diterima,” katanya.

