Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat tak dapat makanan berzat, ke mana kekayaan T'ganu?'

Terengganu masih mencatatkan kadar kemiskinan kedua tertinggi meskipun menyumbang pendapatan kepada hasil minyak dan gas negara, kata Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin.

"Malangnya tahap kemiskinan rakyat Terengganu masih berada di kalangan empat negeri termiskin di Malaysia.

"Ini adalah angka kedua tertinggi selepas Kelantan yang tidak menerima apa-apa hasil dari minyak dan gas," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Lebih mengejutkan, katanya, pendedahan dalam kajian Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) menunjukkan 26 peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di negeri itu mengalami masalah pembesaran.

"Ke manakah perginya kekayaan negeri Terengganu kalau rakyatnya tidak mampu mendapat makanan yang cukup dan berzat?"

"Ini menunjukkan pegurusan kewangan yang amat tidak bertanggungjawab dan lemah dari kerajaan negeri Terengganu," kata Raja Kamarul.

Beliau berkata, Terengganu memperuntukkan bajet tahunan RM2 bilion setahun untuk menampung sejuta rakyatnya berbanding di Selangor yang memiliki 5 juta penduduk.

Kemana pelajar cemerlang

Dalam pada itu Raja Kamarul turut menyatakan kebimbangan terhadap kemajuan pendidikan di negeri itu, merujuk kepada pencapaian pelajar cemerlang di sekolah rendah selepas menamatkan UPSR.

"Kemanakah perginya mereka selepas kecemerlangan dalam UPSR?

"Kita tidak mendengar lagi pencapaian mereka di peringkat sekolah yang lebih tinggi atau di universiti," tambahnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu memberhentikan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar di negeri itu.

"Mengapakah pelaburan pendidikan anak Terengganu di abaikan dan mensia-siakan potensi mereka?

"Apakah yang lebih penting dari pelaburan pendidikan anak muda?" soalnya.

Lihat Komen
ADS