Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM mohon kes khalwat dibicara secara tertutup
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: Mar 9, 2018 1:52 AM

Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini menangguhkan perbicaraan kes khalwat membabitkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas peguam memohon ia diadakan secara tertutup.

Keputusan itu dibuat hakim Shukran Yusof selepas menerima permohonan daripada peguam bela Fikri Ab Rahim, Fadhlina Sidek, semasa kes itu didengari di Shah Alam hari ini.

Shukran kemudian meminta Fadhlina membuat permohonan rasmi mengenai perbicaraan secara tertutup berkenaan dan menetapkan 3 Mei ini bagi membuat keputusan mengenainya.

Kes berkenaan juga akan disebut pada tarikh berkenaan.

Menurut laporan portal mStar Online Fikri, 43, bersama Nur Liza Musa, 35, tiba di mahkamah berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Difahamkan mereka menghadapi tuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) a & b Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan itu menyatakan, mana-mana:-

(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;

(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor di sebuah kondominium di Seri Kembangan kira-kira jam 3 pagi pada 9 Dis tahun lalu.

menurut Fadhlina anak guamnya perlu dibicarakan secara tertutup kerana kes berkenaan membabitkan hal-hal sulit mengenai negara.

Katanya, tertuduh juga merupakan penjawat awam yang sedang berkhidmat di SPRM, justeru perbicaraan itu perlu dilindungi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS