Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
24 maut berpunca kes curi lembu di Nigeria
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 5:24 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

GLOBAL Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan terkorban dalam keganasan baharu yang tercetus di negeri Benue, Nigeria, kata pegawai tempatan pada Rabu.

Keganasan itu berlaku dalam sebuah komuniti di Benue sejak Isnin selepas beberapa penggembala tempatan melaporkan kes kecurian lembu, kata gabenor negeri, Sam Ortom, kepada pemberita.

Kebanyakan mangsa yang maut dalam keganasan di komuniti Omusu Edimoga ialah wanita dan kanak-kanak, kata Ortom, yang menyifatkan pembunuhan itu sebagai "tidak masuk akal."

Beliau mendakwa penggembala terbabit telah pergi ke komuniti itu untuk menimbulkan kekacauan, dan tidak menunggu hasil siasatan polis berhubung kes kecurian lembu yang dilaporkan terlebih dahulu.

Seorang lagi pegawai tempatan berkata beberapa pelajar sekolah telah dibunuh oleh penyerang pada hari Isnin serta Selasa, dan mereka turut mengugut untuk mencederakan lebih ramai orang.

Satu rundingan damai sedang berlangsung bagi menghentikan keganasan itu, katanya.

Pembunuhan oleh penggembala semakin meningkat sejak permulaan tahun baharu di Benue, di mana hubungan antara penggembala dan petani adalah tegang.

Pada 11 Jan lepas, satu pengkebumian besar-besaran telah diadakan untuk 71 mangsa yang maut dalam keganasan yang didakwa dilakukan oleh golongan penggembala di negeri itu.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, dijangka berkunjung ke negeri itu tidak lama lagi untuk mencari jalan bagi mengakhiri serangan.

-  Bernama-NNN-Xinhua

 

Lihat Komen
ADS