Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicabar menunjukkan bukti bahawa langkah mereka itu selaras dengan ajaran agama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada mana-mana agama yang membenarkan umatnya tidak membayar hutang.

"Mana ada agama yang ajar orang yang berhutang tak perlu bayar (semula) hutang?

"'Cuba sebut mana hadis, (ayat) Quran, Bible, Taurat atau Zabur," katanya semasa berucap merasmikan majlis sambutan ke-20 tahun PTPTN di ibu negara hari ini.

Turut hadir Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai menjelaskan bahawa 'sekatan' yang dilakukan kerajaan ke atas peminjam PTPTN bukanlah sejenis kezaliman.

Bahkan, kata beliau pihak yang tidak membayar hutang itulah sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri kerana tidak membayar hutang berkenaan.

"Jangan ingat tindakan yang dilakukan (kerajaan) melalui pelbagai kaedah sebagai kezaliman.

"Kita harus lihat, kita yang zalim diri kita sendiri sebab tak bayar hutang," katanya.

Tak menjamin masa depan

Ahmad Zahid berkata kerajaan selalu disalah tafsir atau dianggap zalim kerana mengenakan tindakan kepada peminjam PTPTN.

Katanya pihak tertentu juga berkempen menanamkan kebencian dan menggambarkan kerajaan sebagai zalim kerana menuntut supaya hutang PTPTN dilunaskan.

Selain itu, menteri dalam negeri itu berkata kerajaan akan jadi zalim sekiranya tidak memberikan pinjaman pendidikan kepada individu lain yang juga layak.

Kata Ahmad Zahid, pinjaman pendidikan hanya boleh terus diberikan jika peminjam terdahulu membayar semula hutang masing-masing kepada PTPTN.

"Sebagai kerajaan, sebagai organisasi, lebih zalim jika tak beri pinjaman kepada mereka yang layak," katanya.

Sementara itu, pada sidang media pula, mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN), Shamsul (gambar) berkata cadangan pembangkang untuk memansuhkan senarai hitam peminjam PTPTN bersifat populis.

Katanya lagi, cadangan HARAPAN mahu membenarkan penangguhan bagi individu yang mempunyai gaji bawah RM4,000 juga tidak realistik.

Ini kerana, katanya, PTPTN sebelum ini telah melakukan pelbagai kajian dan pelaksanaan yang dilakukan sekarang adalah yang terbaik.


Baca Salah siapa graduan jaja nasi lemak, bawa Uber?


"Itu sebenarnya cadangan tak realisitk. PTPTN telah awal mengkaji cadangan berkenaan berasaskan realiti semasa. Agak sukar nak laksanakan (seperti manifesto HARAPAN).

"Ia akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah yang tak membayar balik.

"Sampai bila nak bergantung pada institusi kewangan untuk memberi pembiayaan pada pelajar?" katanya.

Shamsul yang juga anggota parlimen Lenggong berkata cadangan HARAPAN itu juga tidak menjamin masa depan PTPTN itu sendiri.

"Ini cadangan hanya nak tarik undi generasi muda," katanya.

Antara kandungan manifesto HARAPAN bagi pilihan raya umum ke-14, mereka bercadang untuk memansuhkan senarai hitam yang dilaksanakan PTPTN ketika ini serta membenarkan individu bergaji bawah RM4,000 untuk menangguhkan pembayaran mereka.

Lihat Komen
ADS