Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais: Jho Low kini boleh pulang ke tanah air
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Susulan kenyataan bahawa siasatan polis mendapati usahawan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tidak terlibat dalam syarikat 1MDB, penasihat sosiobudaya kepada kerajaan, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan pihak berkuasa harus supaya membawanya pulang ke tanah air.

“Ketua Polis Negara sudah umum hari ini Jho Low tiada kaitan dengan skandal 1MDB. Tahniah kerana berjaya buat keputusan kilat dalam tempoh paling singkat.

“Wajar disyorkan supaya lepas ini Jho Low boleh pulang ke ke tanah air tanpa sebarang prasangka. Tahniah lagi kerana kecekapan PDRM buat kerja!” kata bekas menteri itu dalam satu ciapan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata daripada siasatan, Low didapati tidak pernah bekerja di 1MDB dan semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan tindakan diambil terhadap Low, berikutan rampasan kapal persiaran mewah Equanimity oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Secara keseluruhannya, DoJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan dari 1MDB dan saman sivil itu bertujuan untuk merampas AS$1.7 bilion aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan wang yang dicuri.

Low adalah kenalan rapat Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa eksekutif.

Ini kali kedua Rais memberi pendapatnya berhubung pembabitan Low dan rampasan Equanimity.

Pada 3 Mac lalu, Rais membidas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana bertindak terlalu cepat menidakkan kapal mewah itu bukan milik Jho Low.

Lihat Komen
ADS