DUN JOHOR l Kerajaan negeri sedang dalam proses membuat kajian berhubung cadangan melaksanakan projek penswastaan lebuh raya bertol Johor Bahru-Skudai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad berkata cadangan itu sebagai alternatif terhadap laluan sedia ada Johor Bahru-Skudai yang akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di waktu puncak.

"Dalam kajian ini, laluan bertingkat tersebut akan dapat mengurangkan waktu perjalanan daripada 45 minit kepada 20 minit ke bandar raya Johor Bahru," katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PKR-Bukit Batu) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah kesesakan dari Skudai ke Johor Bahru di Jalan Skudai khususnya di persimpangan ke Taman Perling.

Hasni berkata punca kesesakan lalu lintas di persimpangan Taman Perling adalah disebabkan lorong laluan keluar dari Taman Johor berkongsi laluan susur naik ke Pasir Gudang.

Beliau berkata ini menyebabkan kenderaan yang mahu ke Taman Perling yang jaraknya hanya 450 meter daripada susur Taman Johor mengalami kesesakan bagi memberi laluan masuk kenderaan ke susur lorong Pasir Gudang terutama pada waktu puncak.

Katanya, antara punca lain yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas ialah sikap pemandu sendiri yang tidak sabar mengambil lorong lalu memotong barisan untuk memintas kenderaan lain untuk pergi ke laluan yang dikehendaki.

"Melalui bancian oleh Unit Perancang Lebuhraya (HPU) Kementerian Kerja Raya di laluan Tambak Johor-Senai (berdekatan Pekan Rabu) JR205, kenderaan lalu lintas pada waktu puncak adalah 13,157.714 V/H (kenderaan/jam) dan waktu laluan normal ialah 11,532.25 V/H.

"Bagi laluan Tambak Johor-Senai (Skudai Kiri) JR206, kenderaan pada waktu puncak adalah 10,439.2 V/H dan waktu laluan normal adalah 8,897.487 V/H. Bancian ini menunjukkan keadaan sesak hanya berlaku pada waktu puncak sahaja dan pada waktu biasa, aliran trafik adalah terkawal," katanya.

- Bernama