Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencadangkan agar kerajaan pusat membina satu penempatan khusus untuk pelarian Rohingya di negara ini bagi membendung gejala negatif melibatkan etnik berkenaan.

ADUN Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat berkata pada ketika ini pelarian Rohingya tidak ditempatkan di satu penempatan khas seperti pendatang Vietnam di Pulau Bidong, Terengganu, suatu ketika dahulu.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 174,000 Rohingya di negara ini termasuk 10,000 orang di Johor.

"Mereka ini tinggal di kawasan kediaman rakyat tempatan seperti perkampungan Melayu. Mereka ini berstatus pelarian di Malaysia tetapi bebas bergerak ke mana saja dan ada yang melanggar undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.

Tunku Putra Haron Aminurrashid berkata terdapat beberapa kes jenayah dilaporkan melibatkan pelarian Rohingya termasuk pengedaran dadah dan bunuh.

Malah, katanya, beliau sendiri pernah melihat seorang anak muda Rohingya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di kawasan Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan satu penempatan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk surau bertaraf masjid bagi membolehkan golongan Rohingya menunaikan solat Jumaat dalam kalangan mereka.

- Bernama