Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOF Inc bangunkan bersama TRX Tower dengan Mulia Group
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 6:32 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Minister of Finance Inc (MOF Inc) mengesahkan ia bersetuju dengan The Mulia Group untuk membangunkan bersama Exchange 106 Tower di TRX (TRX Tower).

Dalam satu kenyataan hari ini, katanya, pembinaan menara tersebut dijangka siap pada separuh kedua 2018.

MOF Inc, melalui anak syarikat milik penuhnya, MKD Signature Sdn Bhd, telah mengambil alih 51 peratus pegangan saham dalam Mulia Property Development Sdn Bhd pada Julai 2017.

Mulia Property, sebuah syarikat diperbadankan di Malaysia, mempunyai modal saham berbayar sebanyak RM500,000.00 dan dimiliki bersama oleh The Mulia Group (49 peratus) dan MKD (51 peratus).

MOF Inc berkata kos pembangunan TRX Tower akan ditanggung oleh kedua-dua pemegang saham tersebut berdasarkan kadar pegangan saham masing-masing dalam usaha sama (JV) berdasarkan kos asal pembangunan.

MKD telah membuat perancangan persediaan dengan HSBC Bank untuk membiayai kos pembinaan sebanyak 51 peratus tanpa sebarang tambahan premium oleh syarikat usaha sama, katanya.

Pada Mei 2015, Mulia Property membeli tanah seluas 1.37 hektar dengan nilai RM665 juta daripada TRX City Sdn Bhd.

Penjualan tanah TRX kepada Mulia dilakukan mengikut terma komersial dengan tanpa diskaun diberikan kepada Mulia.

MOF Inc berkata penyertaannya dalam pembangunan TRX Tower telah dipersetujui pada permulaan yang hanya menjadi kenyataan apabila projek itu mencapai pencapaian pembangunan tertentu.

“Lokasi strategik TRX Tower dan ciri ikonik pembangunan itu memberi dorongan yang kuat kepada MOF Inc untuk mengambil bahagian dalam pembangunan dan pengurusan menara tersebut.

“Dengan keseluruhan kawasan pembangunan TRX dijangka menguasai nilai pembangunan kasar sebanyak RM40 bilion, penting bagi MOF Inc untuk memastikan ia meraih satu lagi kedudukan strategik dalam kemajuan dan kejayaan pembangunan TRX,” katanya.

TRX Tower akan mempunyai ruang boleh sewa bersih seluas 2.8 juta kaki persegi, katanya.

Apabila siap, katanya, menara tersebut akan menjadi satu daripada tiga struktur ikonik di Malaysia, selepas Menara Berkembar PETRONAS dan Merdeka Permodalan Nasional Berhad 118.

“TRX Tower juga bakal menjadi bangunan ke-15 tertinggi di dunia apabila siap.

“Yang penting, ini bukan satu-satunya kerjasama strategik oleh MOF Inc di kawasan pembangunan TRX,” katanya.

MOF Inc berkata ia telah memeterai kerjasama dengan Lendlease (Australia) untuk membangunkan Lifestyle Quarter, kawasan pembangunan bercampur seluas 6.8 hektar dalam TRX dengan struktur ekuiti sebanyak 60 peratus dimiliki oleh Lendlease dan MOF Inc memiliki baki 40 peratus.

TRX Tower akan menjadi pemangkin bagi pembangunan dan pembinaan di sekitar plot komersial dalam TRX, katanya.

Katanya organisasi yang bereputasi – HSBC, Prudential Insurance, Affin Bank Berhad, Tabung Haji, Landlease (Australia) – komited untuk membeli plot komersial dalam TRX dan rundingan sedang dijalankan bagi organisasi antarabangsa lain untuk mengambil bahagian.

“TRX Tower akan menjadi kejayaan bagi peranan sinergi Tun Razak Exchange dalam menempatkan kedudukan Malaysia yang semakin berkembang dalam kewangan global,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS