Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Indonesia akan serah kapal Equanimity pada AS
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 8:36 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Indonesia sedang membuat persiapan untuk menyerahkan kapal layar mewah yang dirampas di Bali bulan lalu kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang mensasarkan aset yang didakwa dibeli menggunakan wang yang disalurkan dari dana negara Malaysia, kata seorang pegawai polis pada Khamis.

Equanimity ditahan oleh Indonesia ketika siasatan rasuah jutaan dolar oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut timbalan pengarah bahagian ekonomi dan jenayah khas Biro Siasatan Indonesia, Daniel Silitonga, polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS sedang "menyediakan kertas kerja" untuk menyerahkan kapal berkenaan.

Silitonga berkata pihak berkuasa telah mengambil buku log kapal itu tetapi pencarian tidak menemui sebarang wang, lapor Reuters.

Polis juga menyoal kapten dan anak kapal tetapi tidak menemui hubung kait dengan siasatan pengubahan wang haram, kata Agung Setya, pengarah bahagian ekonomi dan jenayah khas di Biro Siasatan Jenayah Indonesia.

1MDB disasat kerana tuduhan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Sebanyak $AS 4.5 bilion didakwa disalahgunakan dari 1MDB oleh pegawai tinggi dan rakan sekutu mereka, berdasarkan tuntutan sivil yang difailkan oleh DOJ.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada tahun 2009 dan menjadi pengerusi lembaga penasihatnya.

Beliau dan 1MDB bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Antara aset yang dikehendaki di bawah siasatan DOJ ialah Equanimity, sebuah kapal layar $250 juta yang dibeli oleh ahli perniagaan Malaysia, Jho Low.

Jho Low dinamakan sebagai individu penting dalam tuntutan undang-undang AS yang mendakwa dia membeli kapal berkenaan daripada wang yang diselewengkan dari 1MDB.

Keberadaan Low tidak diketahui dan syarikat Hong Kong miliknya tidak menjawab permintaan untuk memberikan ulasan.

Jurucakap Low dipetik oleh media Malaysia minggu lepas berkata beliau kecewa dengan tindakan DOJ merampas kapal berkenaan..

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata penyitaan Equanimity di Indonesia adalah tindakan pelucutan sivil mahkamah AS terhadap Low dan bukan terhadap 1MDB.

"Pihak Polis Diraja Malaysia juga tidak ada menerima sebarang makluman daripada pihak berkuasa Indonesia atau Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung rampasan kapal layar Equanimity di perairan Indonesia pada 28 Februari 2018.

"PDRM juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi membantu dalam siasatan berkaitan kapal layar berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS