Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Gangguan air tak akan berlaku jika S'gor bertindak awal'

Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) diminta memberi penjelasan berhubung kelewatan pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Bestari Jaya, Kuala Selangor, yang kerosakan itu didakwanya berlaku sejak dua tahun lepas.

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata gangguan bekalan air tidak akan berlaku jika kerajaan Selangor mengambil tindakan awal dengan melaksanakan kerja baik pulih di loji berkenaan.

“Kerosakan loji rawatan itu sudah lama diketahui iaitu sejak Disember 2016. Saya minta SPLASH yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri Selangor supaya tampil memberikan penjelasan mengapa sekarang baru mereka laksanakan baik pulih loji tersebut.

“Perkara sebegini dapat dielakkan jika tindakan awal diambil setelah mengetahui punca yang boleh menjejaskan bekalan air. Kerajaan negeri tidak seharusnya berdolak dalih jika tidak berupaya menguruskan air di Selangor,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Irmohizam menyifatkan bantuan bekalan air yang disalurkan kerajaan negeri kepada rakyat bukan langkah efektif dalam menyelesaikan krisis air berkenaan.

“Bukan semua orang mampu untuk beratur dan mengangkut air pada waktu tertentu. Pendapatan para peniaga makanan pula sudah pasti terjejas kerana ada kedai yang terpaksa tutup, malah ada yang mengunakan cawan serta pinggan kertas namun kosnya tidak efektif dan merugikan,” katanya.

Gangguan bekalan air yang melibatkan banyak kawasan di sekitar Lembah Klang sejak Rabu lepas dijangka berlaku lebih lama berikutan Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3 pecah dan menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya terpelanting keluar daripada strukturnya.

Antara kawasan yang terbabit adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat. -Bernama

Lihat Komen
ADS