Berita Malaysiakini

Zahid: 58.9 peratus orang Lembah Pantai mahu berubah angin

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kajian mendapati sebanyak 70.1 peratus responden bersetuju hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh membina masa depan kawasan Parlimen Lembah Pantai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi kajian sebuah universiti tempatan terhadap pengundi pelbagai kaum itu, sebanyak 74.5 peratus responden mengakui hanya BN sudah membantu dan memberi perkhidmatan kepada mereka.

“Sebanyak 58.9 peratus responden pula mahu berubah angin dengan memberikan sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Lembah Pantai dan 75.3 peratus responden berkata janji-janji yang dibuat ‘orang’ yang mewakili Lembah Pantai tidak ditunaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata jika kepercayaan dan sokongan terus diberikan kepada calon BN di kawasan itu, lebih banyak kemudahan dan keselesaan yang akan dinikmati penduduk.

“Dengan memberikan sokongan kepada calon BN, mudah-mudahan lebih banyak lagi kemudahan yang akan diberikan. Ini bukan kali terakhir saya datang, saya akan datang lagi untuk memantau kebajikan anak-anak buah saya di Lembah Pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Penduduk Lembah Pantai di Perumahan Polis Desa Aman 1, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Ahmad Zahid berkata kerajaan BN memberi perkhidmatan kepada rakyat bukan secara bermusim seperti yang dilaksanakan pembangkang.

“Jangan datang hanya ketika musim buah, itu sifat kelawar. Jangan juga datang pada waktu membajak kerana itu pesawah. Kita di Lembah Pantai, datang tidak kira musim.

“Hari besar (pilihan raya) atau tidak, kita akan tetap beri perkhidmatan kerana mengambil kira kepedulian kepada stakeholders (pemegang kepentingan), anak buah dan rakyat,” kata beliau.

Mengenai masalah kekurangan tempat letak kereta di Lembah Pantai khususnya di Projek Perumahan Rakyat, beliau berkata kerajaan sedang membina tempat letak kereta bertingkat bagi menangani masalah itu. -Bernama