Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manifesto HARAPAN seimbangkan agenda Melayu dan kaum lain
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 11:56 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Menyedari lawan utamnya adalah Umno, Pakatan Harapan (HARAPAN) menyenaraikan isu-isu yang dekat dengan masyarakat Melayu dalam manifestonya.

Tetapi pada masa yang sama, gabungan itu juga memasukkan tuntutan yang telah lama dibuat oleh masyarakat Cina dan India.

Sebagai contoh, HARAPAN akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diambil di sekolah persendirian Cina untuk memasuki universiti awam. Ini dengan syarat bahawa pelajar mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu.

HARAPAN dalam manifestonya juga mengambil langkah untuk mengangkat isu-isu masyarakat India.

Berhubung isu-isu Melayu, selain memberi penekanan terhadap peruntukan perlembagaan mengenai hak keistimewaan Melayu dan Raja-raja Melayu, ia juga menggariskan beberapa perkara dasar.

Di antaranya cadangan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera menerusi pembelian syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu agenda mengenai Melayu akan dibentangkan dan dibahaskan di parlimen setiap tahun.

HARAPAN juga akan memaparkan data mengenai pemilikan ekuiti Melayu yang akan dimasukkan dalam bajet negara setiap tahun.

Manifesto itu juga mencadangkan untuk menaik taraf muzium diraja di Istana Negara kepada Muzium Pendidikan Nasional dan menggalakkan universiti awam memperbanyak kajian mengenai kesultanan dan tamadun Melayu

Gabungan itu juga berjanji akan melindungi tanah rizab Melayu.

Bantuan untuk India tanpa kerakyatan dan B40

Bagi masyarakat India yang dinyatakan dalam seksyen khusus manifesto berkenaan, HARAPAN antara lain akan membantu membina sekolah menengah Tamil dengan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Ia juga akan menyelesaikan isu kaum India yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan dalam masa 100 hari jika HARAPAN mengambil alih Putrajaya.

HARAPAN juga akan mengarahkan agensi perumahan negara untuk membina perumahan bagi pekerja kaum India yang tergolong dalam golongan B40 dan bekas pekerja ladang.

Selain itu, ia juga mensyaratkan pemaju membina perumahan bagi bekas pekerja ladang.

Manifesto itu menambah antara lain, HARAPAN akan mewujudkan satu skim yang serupa seperti Felda untuk masyarakat India.

Gabungan itu turut berjanji untuk menyelesaikan masalah penukaran agama sepihak secara harmoni.

Terdapat juga peruntukan khusus untuk kampung-kampung baru Cina, di mana gabungan itu berjanji akan menaikkan peruntukan sehingga tiga kali ganda dari RM20 juta kepada RM60 juta.

Ia juga berjanji untuk memberi pinjaman kepada peniaga di kampung-kampung Cina.

 

Lihat Komen
ADS