Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mengekalkan hukuman penggantungan keahlian Tan Sri Mohd Isa Samad, tetapi mengurangkannya daripada enam tahun kepada tiga tahun.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mesyuarat MT petang tadi di ibu pejabat Umno, di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno itu dihukum gantung keahlian dalam parti selama enam tahun kerana didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti tahun lalu.

Pengurangan hukuman itu berkuatkuasa 24 Jun lalu - hari Lembaga Disiplin Umno mendapati Mohd Isa yang juga menteri Wilayah Pewrsekutuan, bersalah melakukan politik wang.

Keputusan muktamad

Menurut Abdullah, keputusan MT itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

"Keputusan muktamad telah dibuat dan tidak ada lagi kes rayuan yang

akan diterima berkaitan kes-kes yang telah diumumkan," kata beliau.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekoran keputusan MT itu, Mohd Isa perlu melepas jawatannya dalam kabinet.

"Itulah kelazimannya," kata beliau kepada pemberita.