Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menggesa Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull untuk menimbulkan skandal 1MDB dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut The Australian hari ini, kedua-duanya dijangka bertemu pada Sidang Kemuncak Asean minggu depan.

Dalam wawancara berulis dengan akhbar itu, Mahathir dilaporkan berkata Turnbull seharusnya "membangkitkan isu 1MDB dengan Najib, dan juga perlu "mendedahkan kebenaran jika beliau mengetahui fakta tertentu" mengenai isu berkenaan.

"Dia mesti sanggup mendedahkannya kepada pihak berkuasa yang betul - sama ada Monetary Authority of Singapore (MAS), Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat ataupun juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Mahathir.

"Dia tidak harus menyembunyikan apa yang dia tahu, tetapi ini tidak boleh dilakukan kerana dendam... hanya untuk mendedahkan kebenaran."

Menurut laman web rasmi Asean 2018, Sidang Kemuncak Asean akan diadakan di Singapura mulai 25 April, yang kira-kira dua bulan lagi. Bagaimanapun, terdapat beberapa acara berkaitan minggu depan, termasuk Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia di Sydney pada 17 dan 18 Mac.

Laporan The Australian hari ini dibuat susulan artikel akhbar itu semalam yang mendakwa anak Turnbull, Alex Turnbull diketepikan dari kedudukan eksekutifnya di Goldman Sachs di Singapura selepas mendedahkan apa yang berlaku di sebalik perjanjian mencurigakan membabitkan 1MDB.

Beliau dipetik sebagai berkata dirinya elah menimbulkan kebimbangan dengan rakan-rakan mengenai bon AS$6 bilion yang diterbitkan untuk 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 serta ketiadaan ketelusan dalam dokumen mengenai cara dana itu akan digunakan.

Katanya, akibat tindakannya itu, beliau kemudian diketepikan dan akhirnya memilih meletak jawatan dari Goldman Sachs pada tahun 2014 untuk memulakan firma dana lindung nilai miliknya sendiri, Keshik Capital di Singapura.

Menurut pemfailan DoJ di mahkamah di California, tawaran bon 2012 yang ditaja oleh Goldman Sachs itu adalah salah satu daripada tiga fasa dalam penyelewengan dan pengubahan haram dana 1MDB.

Kerajaan Malaysia telah menafikan dakwaan itu dengan alasan bahawa tiada wang yang hilang dari 1MDB. Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas mengenai dakwaan yang diterbitkan oleh The Australian itu.

[Baca berita penuh]