BERSATU sedia menerima ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Husain dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk menyertai parti itu, kata timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Jika benar Azmi dan Mahfuz mahu sertai BERSATU, kita alu-alukan, namun belum ada kepastian tentang apa yang dihebohkan itu,” katanya yang dipeetik oleh portal Sinar Harian hari ini.

Mukhriz mengulas kemungkinan kedua-dua tokoh itu memilih BERSATU menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang mengatakan dua lagi wakil rakyat Kedah bakal berhijrah kepada BERSATU. Ia gara-gara tular gambar dua wakil itu yang duduk semeja berbual ‘mesra’, dengan pemimpin BERSATU.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pihaknya sudah pun menganggap Mahfuz sebahagian daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) walaupun bekas naib presiden PAS itu belum mengumumkan parti pilihannya.

“Mahfuz belum tetapkan keputusan pilih parti mana dalam HARAPAN.

“Beliau hanya keluar PAS dan status parti masih tergantung. Yang penting, beliau sudah jadi sebahagian daripada HARAPAN dan ia bagi kekuatan kepada gabungan ini,” katanya yang dipetik portal itu.

Kedudukan politik Azmi yang juga adalah pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Kedah pula dikatakan ‘tidak selamat’ dan kemungkinan tidak dicalonkan semula di kerusi Bayu.

Beliau dilaporkan agak lantang bersuara mengkritik parti selain didakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Setakat ini, saya tak dapat bayangan Umno Baling akan tawarkan kerusi untuk Azmi bertanding kerana umum mengetahui hubungan antara dua pemimpin itu kurang mesra.

"Azmi masih ada pilihan sertai parti lain jika ingin teruskan karier politiknya,” kata Mukhriz lagi.