'Wakil rakyat DAP tak profesional'
PARLIMEN | Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menempelak anggota parlimen (MP) DAP yang dianggapnya terdesak, tidak profesional serta menjatuhkan standard mereka sebagai "ahli yang berhormat".
Kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan sesuatu yang luar biasa apabila wakil rakyat pembangkang menggunakan parlimen untuk menyerang kerajaan.
Namun katanya tindakan MP terbabit membuat dakwaan jahat ke atas speaker menandakan mereka terdesak serta tidak profesional.
"Sebagai wakil rakyat mereka perlu menjaga standard sebagai ahli yang berhormat, bukannya menunjukkan tingkah laku seperti ahli yang tiada hormat," katanya dalam satu kenyataan.
Azalina yang juga anggota parlimen kawasan Pengerang mengulas desakan tiga MP daripada DAP yang menggesa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya meletak jawatan pada 7 Mac.
Gesaan itu dibuat melalui kenyataan bersama oleh Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) selepas Pandikar menolak usul tergempar difailkan mengenai rampasan kapal mewah Equanimity di Teluk Benoa, Bali pada 28 Feb lalu.

Kapal itu disita oleh pihak berkuasa Indonesia yang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam siasatan mereka berhubung skandal 1MDB.
MP DAP itu mendakwa Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi "sekutu untuk menutup skandal rasuah".
Azalina berkata kenyataan mereka bahawa Pandikar bersekongkol untuk menutup skandal rasuah adalah bersifat jahat.
"Seperti semua maklum pelantikan dan peranan speaker termaktub dalam Perkara 57 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan, manakala Peraturan Mesyuarat 99 Dewan Rakyat menyebut: keputusan Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua peraturan mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad, kecuali jika ada untuk usul bersendiri menentang keputusan itu. Tuan Yang di-Pertua dari satu masa ke satu masa boleh mengeluarkan petua-petua berkenaan dengan perkara itu".
"Speaker berhak menolak apa-apa soalan atau usul yang tidak mengikut peraturan mesyuarat.
"Keputusan Speaker adalah konsisten dan adil kepada semua ahli dewan," katanya.
Bagaimanapun menurut Azalina ada cara untuk mencabar keputusan berkenaan dan ia bukanlah dengan mendesak speaker meletak jawatan atau berprasangka buruk apabila keputusan tidak menyebelahi mereka.

