Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik 'Nasi Kak Wook' boleh ambil tindakan undang-undang - MyIPO
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 5:44 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Pemilik perniagaan ‘Nasi Kak Wook’ boleh mengambil tindakan undang-undang bagi penggunaan jenama dan logonya tanpa kebenaran bertulis.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berkata jenama dan logo ‘Nasi Kak Wook Original Recipe The Taste Is Begin 1970’ telah didaftarkan pada 17 Okt 2014.

Pendaftaran itu dibuat di bawah pemilikan sah penama iaitu Mastura binti Ibrahim, Che Ab Aziz bin Amat, dan Maheran binti Ibrahim yang beralamat perniagaan di Nasi Kak Wok, Lot 9 Jalan Asrama Zainab, Off Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan.

“Pihak MyIPO selaku pendaftar dan custodian (penjaga) harta intelek di Malaysia ingin menegaskan bahawa pendaftaran jenama dan logo ini diiktiraf undang-undang Malaysia di bawah Akta Cap Dagangan 1976,” kata perbadanan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Seksyen 38 Akta Cap Dagangan 1976, pelanggaran cap dagangan adalah termasuk penggunaan cap dagangan yang serupa atau yang menyerupai cap dagangan berdaftar, sehingga ia mungkin menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Media melaporkan bahawa pewaris perniagaan nasi berlauk itu, yang bertapak lebih 30 tahun di Kelantan, Mastura Ibrahim, 46, berkata jenama ‘Nasi Kak Wook’ sudah diciplak pihak tidak bertanggungjawab sehingga ia kini boleh didapati di seluruh Kelantan.

Perniagaan itu turut menular ke Kuala Lumpur dan Selangor walaupun ‘Nasi Kak Wook’ hanya mempunyai enam cawangan di sekitar Kota Bharu, katanya.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS