Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng berhubung dakwaan ketua menteri itu yang menuduh Umno dan pemimpim Umno menerima rasuah dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Jasmin Noordin berkata Lim yang juga setiausaha agung DAP turut menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan media untuk membuat laporan palsu berkenaan projek itu.

"Pada 28 Feb lepas, saya melihat dalam laman Facebook beliau (Lim) berhubung satu sidang media yang dibuat ketua menteri itu dan dengan rasa tidak bertanggungjawab telah menuduh Umno serta seorang pemimpin parti Umno menerima rasuah dalam Projek Terowong Pulau Pinang.

"Beliau turut berkata Umno yang terima rasuah tapi DAP yang kena, jadi kami terpanggil untuk membuat laporan polis berhubung tuduhan berkenaan kerana ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang ketua menteri dan berharap polis menyiasat perkara itu kerana terdapat unsur menghasut yang boleh mengancam keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town semalam.

Projek terowong dasar laut Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer itu didakwa dilaksanakan dengan kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran yang membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan beberapa individu termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi syarikat pembangunan hartanah bergelar Datuk turut direman bagi membantu siasatan kes itu.

Jasmin berkata pihaknya turut menggesa Lim meminta maaf secara terbuka berhubung tuduhannya itu kerana SPRM sebelum ini telah mengesahkan Umno dan pemimpin yang dituduh ketua menteri berkenaan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dalam projek terowong dasar laut berkenaan.

"Lim harus meminta maaf kepada Umno dan pemimpin Umno berkenaan atas keceluparan mulutnya malah beliau juga secara terbuka sabitkan SPRM tiada integriti dan mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat kes berkenaan.

"Pemuda Pulau Pinang berpendirian Lim perlu disiasat kerana turut membuat tuduhan terhadap SPRM dan saya juga berpendapat tindakan setiausaha agung DAP itu adalah sandiwara pilihan raya umum ke-14,” katanya.

- Bernama