Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Manifesto HARAPAN 'mansuhkan GST' tidak jelas

Ahli Ekonomi dan penganalisis tidak selesa dengan rancangan Pakatan Harapan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), salah satu janji dalam manifesto yang dilancarkan pada malam Khamis.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IDEAS, Ali Salman berkata, cadangan itu boleh menimbulkan persoalan kerana GST menjana pendapatan yang besar kepada kerajaan.

Cadangan alternatif pula, katanya, adalah untuk kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang secara tersirat, tambahnya, bermaksud HARAPAN masih mengenakan cukai tetapi di bawah nama yang berbeza.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Ali menyifatkan manifesto HARAPAN Sebagai "contoh niat yang baik dengan preskripsi sebaliknya".

Tambahnya, Malaysia menyertai 160 negara yang mengenakan GST dan itupun pada kadar yang rendah sebanyak enam peratus dengan pengecualian perlu.

Penyelidik di Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Lau Zheng Zhou juga menegaskan bahawa memansuhkan GST tidak akan membawa kepada penurunan semula jadi harga terutama apabila ia akan digantikan dengan SST.

"SST adalah sesuatu yang anda kenakan ke atas pengeluar. Apabila anda kenakan kos dalam menjalankan perniagaan, maka kos tersebut akan disalurkan kepada pengguna," tegasnya.

Oleh itu, katanya, pemansuhan GST tidak akan secara automatik membawa kepada harga yang lebih rendah.

Mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan lebih banyak berkaitan dengan persaingan yang sihat, jelasnya, kerana harga akan cuba diturunkan dalam pasaran kompetitif.

Daripada memansuhkan GST, profesor ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai mencadangkan HARAPAN mereka-bentuk semula sistem percukaian supaya ia mensasarkan golongan berpendapatan tinggi dan pelancong.

"Jika kita kenakan GST ke atas pelancong, maka kita boleh mengeksport beban cukai dan ia tidak akan begitu sangat menjejaskan rakyat kita sendiri di Malaysia," katanya.

HARAPAN telah menyatakan hasrat mereka untuk menghapuskan GST sekiranya mereka menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini walaupun statistik menunjukkan bahawa kerajaan BN mengumpul lebih RM42 bilion daripada GST tahun lepas.

Perlu lebih justifikasi

Pemimpin HARAPAN bertegas bahawa menampung kehilangan hasil daripada pemansuhan GST dengan membasmi rasuah dan menangani ketirisan dalam pentadbiran awam.

Bagaimanapun, Lau berkata gabungan pembangkang perlu menjelaskan dengan lebih baik bagaimana mereka merancang untuk membiayai pelbagai dasar kebajikan yang mereka mahu laksanakan.

"Mereka pelu beri lebih banyak justifikasi dan bukan hanya sekadar mengatakan kami akan membiayainya dengan membasmi rasuah.

"Ia tidak begitu jelas kepada saya. Anda perlu perincikan kategori perbelanjaan dan pendapatan," katanya.

Manakala Barjoyai juga prihatin mengenai bagaimana dasar-dasar ini akan dibiayai.

"Ia bunyi seperti bajet sebuah negara sosialis yang [...] pada saya, ia adalah satu manifesto yang baik yang akan membawa kita kepada ekonomi yang lebih berasaskan kepada kebajikan, yang akan membantu, terutamanya, golongan miskin dan yang berpendapatan rendah.

"Tetapi cabaran dalam melaksanakan semua ini adalah sumber pendapatan untuk kerajaan," katanya.

Menurutnya, perancangan dan pelaksanaan yang betul dapat membantu seperti melancarkan polisi seumpama itu, satu persatu, dalam satu set jangka waktu tertentu.

Satu lagi cara untuk membolehkan kerajaan mampu melaksanakan inisiatif ini ialah dengan mempelbagaikan sumber pendapatannya, katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan, jika hasil kerajaan tidak mencukupi, maka ia mungkin membawa kepada peningkatan hutang negara.

"Kerajaan mungkin perlu meminjam dan apabila mereka mula meminjam, maka kita akan kembali kepada isu hutang negara," katanya.

Lau juga berkongsi sentimen yang sama bahawa dia hanya nampak tiga cara kerajaan boleh membiayai dasar-dasar tersebut.

Ia boleh sama ada meningkatkan pendapatan melalui cukai, memindahkan perbelanjaan dengan memotong peruntukan di tempat lain atau meningkatkan pinjaman, katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa gabungan pembangkang harus menjustifikasikan perbelanjaan mereka dengan "lebih banyak pengiraan dan analisis".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS