Syerleena dilabel kayu api neraka
Seorang pemimpin muda DAP di Pulau Pinang menjadi mangsa serangan pihak tertentu yang menggambarkannya seolah-olah penyembah parti berkenaan.
Kata Syerleena Abdul Rashid fitnah yang dilemparkan itu mendakwa kononnya dia bersikap anti-Islam. Justeru ia menjejaskan reputasinya.
Syerleena yang juga penolong setiausaha publisiti Wanita DAP berkata serangan berkenaan mendakwa dirinya pengkhianat walaupun dia sebenarnya berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau jantina.
Awal minggu ini katanya dia dimaklumkan beberapa akaun Facebook mula mengitar semula fitnah lama mengenai dirinya.
Melalui media sosial itu kata Syerleena beberapa pengguna Facebook seperti Bockes Boxer, Nthe Garcia dan Wan Abidin Zain mengongsi beberapa gambar mengenai dirinya.
Antara gambar itu memaparkan Syerleena diiringi dengan ayat: "Tahniah! Akhirnya berjaya juga kau jadi kayu api kat neraka nanti. Inilah akibat hidup berkiblatkan DAP. Cina DAP gunakan Melayu untuk hancurkan agama Islam!"
Minta SKMM dedah maklumat
Di sisi gambar Syerleena diletakkan pula ayat: "Saya bersumpah akan serang institusi Islam khususnya Jakim demi DAP."
Bercakap kepada wartawan di Jalan Rangoon, George Town semalam, Syerleena, 38, berkata ia adalah fitnah politik yang tidak berasas kali ketiga dihadapinya.
"Serangan pertama betul-betul terjadi setahun lalu, manakala yang kedua sekitar Sept 2017 dan yang terbaru saya ketahui minggu ini," katanya yang juga anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Untuk semua serangan itu, kata Syerleena, dia sudah membuat laporan polis serta mendapatkan pandangan perundangan untuk menanganinya.
Pada 7 Mac lalu, kata Syerleena, dia dimaklumkan oleh polis melalui sepucuk surat bahawa kes berkenaan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia untuk tindakan lanjut.
"SKMM mesti mendedahkan maklumat yang mereka ada berhubung kes ini kepada peguam saya untuk tindakan lanjut yang akan dikenakan ke atas akaun Facebook berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.
Serangan ke atas orang kuat DAP menggunakan sentimen bangsa dan agama bukanlah asing.
Pada Jan 2017 tersebar mesej kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA) - sebuah agensi khusus membantu orang Melayu - jika berjaya membentuk kerajaan selepas ini.
Semalam Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mejar (B) Zaidi Ahmad membuat laporan polis berhubung ciapan kononnya Lim akan menutup semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh negara sekiranya HARAPAN) menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

